Saturday, March 20, 2010

Sindiket pasport palsu Indonesia tumpas


Sakaruddin Che Mood (dua dari kanan) menunjukkan pasport palsu Indonesia yang dirampas pada sidang akhbar di Kajang, Selangor, semalam.

KAJANG 19 Mac - Polis melumpuhkan satu sindiket memproses dan menjual pasport Indonesia palsu yang dipercayai bergiat aktif di sekitar daerah ini dengan penahanan salah seorang anggotanya di Taming Jaya di sini semalam.

Dalam tangkapan kira-kira pukul 2.30 petang itu, suspek lelaki warga Indonesia yang berusia 35 tahun sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis peronda.

Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak mencampak sebuah beg dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, pemeriksaan ke atas beg suspek menemui 19 buku pasport Indonesia palsu.

"Suspek kemudian dibawa sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat yang tidak berpenghuni di kawasan yang sama dan menemui sebahagian peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

"Turut ditemui, enam buku pasport Indonesia palsu, 53 keping gambar saiz pasport individu, cop mohor Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen serta cop beberapa negeri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Menurut Sakaruddin, soal siasat terhadap suspek yang bertindak sebagai runner kepada sindiket itu mendapati pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak RM150 untuk membuat pasport palsu itu.

Beliau berkata, polis percaya rata-rata pelanggannya adalah pekerja warga Indonesia yang dipercayai memasuki negara kita secara haram.

"Mereka ingin memiliki pasport palsu ini untuk melepaskan diri sekiranya berdepan pemeriksaan rambang oleh pihak berkuasa. Pasport ini mereka tidak dapat gunakan untuk melepasi sempadan," jelas beliau.

Sakaruddin menambah, suspek kini ditahan reman selama 14 hari bagi disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1996.

"Polis sedang giat berusaha mengenal pasti dalang di sebalik sindiket terbabit," ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...