Tuesday, October 14, 2008

HYDROQUINONE - Bahan pemutih kulit


BAGAIMANA WARNA KULIT TERHASIL?

Secara normal fisiologi, warna kulit berasal daripada melanin yang merupakan pigmen berwana coklat kegelapan. Melanin dihasilkan daripada melanocytes yang terletak di bawah kulit. Selain daripada kulit, ia juga menjadikan rambut berwarna gelap. Cahaya matahari menjadikan lebih banyak melanin dihasilkan di dalam kulit menyebabkan kulit menjadi semakin gelap (tanned) ketika lama berjemur di bawah cahaya matahari.
Melanin sangat penting kepada kulit kerana ia bertindak sebagai pelindung cahaya matahari. Melanin melindungi cahaya Ultraviolet yang merbahaya daripada menembusi lapisan dalam kulit.

APAKAH ITU HYDROQUINONE?

Hydroquinone ualah sejenis persediaan bahan kimia yang boleh didapati di dalam kosmetik. Penggunaan hydroquinone adalah untuk membunuh melanocytes, sejenis sel yang bertindak menghasilkan melanin. Untuk itu kulit akan kelihatan cerah dan semakin putih.
Di Malaysia terdapat 2 jenis Hydroquinone yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu Hydroquinone 2% dan Hydroquinone 4%. Peratusan (2% atau 4%) adalah merujuk kepada kandungan hydroquinone di dalam persediaan itu. Adakalanya peratusan hydroquinone boleh mencapai sehingga 10%.
Mengikut sumber Pusat Racun Negara, syarikat kosmetik hanya dibenarkan menggunakan hydroquinone 2% sahaja. Untuk hydroquinone 4%, ia boleh digunakan dengan arahan atau preskripsi daripada doktor. Pakar kecantikan juga tidak dibenarkan menggunakan hydroquinone 4%.

BAGAIMANA HYDROQUINONE DIGUNAKAN?

Cuma Hydroquinone topikal atau jenis sapu di kulit adalah persediaan yang dibenarkan di Malaysia. Pada kebiasaanya ia disapu pada kulit 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.
Ia tidak boleh digunakan berhampiran mulut atau mata. Ia juga tidak boleh digunakan pada kesan terbakar cahaya matahari (sun burn) ataupun di tempat luka.
Kesan perubahan boleh dilihat di dalam masa 4- 6 minggu. Ketika menggunakan hydroquinone, kulit akan menjadi sensitif dan cahaya matahari hendaklah dielakkan.
Kesan pencerahan hydroquinone bertahan hanya selama 4-6 bulan dan tidak berkekalan. Oleh itu, penggunaan krim haruslah berterusan.
Sekiranya tiada kesan selepas 3 bulan, aplikasi hydroquinone perlu diberhentikan.

MENGAPA HYDROQUINONE BOLEH MEMBAHAYAKAN KESIHATAN?

Pada tahun 2006, FDA (Food and Drug Association) di Amerika telah mencadangkan untuk mengharamkan penjualan hydroquinone 2% kepada orang ramai tanpa kebenaran doktor. Ini bermakna hanya doktor sahaja yang boleh meluluskan penggunaan hydroquinone walaupun dengan kekuatan 2%. Walaupun ia masih di dalam cadangan, tetapi ini menunjukkan bahan ini boleh mendatangkan bahaya dan tidak sesuai dijual tanpa preskripsi.
Jika digunakan sedikit, antara kesan sampingannya ialah kesan terbakar dan merah pada tempat yang disapu. Adakalanya kulit tersebut menjadi lebih gelap dari sebelumnya sebelum ia lama kelamaan berkurangan.

Kesan allergi kepada hydroquinone juga telah dilihat kepada si pemakai. Allergic contact dermatitis adalah alahan kulit apabila terkena ubat ini. (lihat gambar sebelah)
Ochronosis adalah satu penyakit kulit yang jarang-jarang berlaku ketika menggunakan hydroquinone. Ia menyebabkan kulit menjadi tebal dan hitam di tempat kulit terdedah kepada bahan itu. Ia biasanya berlaku kepada orang kulit hitam.

Walaupun tiada data yang lengkap kepada manusia, eksperimen kepada binatang menunjukkan kaitan di antara hydroquinone dengan kanser kulit. Ada juga hypothesis (belum dibuktikan) yang mengaitkan bahan ini dengan kanser leukemia. Ini adalah kerana hydroquinone adalah hasil metabolite daripada penguraian benzene, sejenis penyebab kanser.
Penggunaan hydroquinone oleh ibu mengandung dan yang sedang menyusu harus dielakkan kerana tidak ada kajian khusus telah dijalankan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...