Friday, March 5, 2010

Baju Polis Buatan Bangla


PREMIS itu kembali beroperasi ketika tinjauan pukul 6.30 petang semalam.

ANGGOTA polis mendapati kedai jahit di Pekan Sungai Besi ditutup pukul 10.30 pagi semalam.


KLANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius tindakan pengusaha kedai jahit yang 'berani' mengambil tempahan pakaian seragam pihak berkuasa tanpa meminta kad kuasa polis untuk pengesahan.

Serentak dengan itu Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan tegas memberi amaran keras kepada pengusaha terbabit supaya menghentikan serta-merta kegiatan tersebut.

Katanya, tindakan mereka yang menerima tempahan pakaian seragam polis tanpa mengikut syarat-syarat ditetapkan nyata melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas.

"Itu salah (tindakan mengambil tempahan), kita tidak akan berkompromi dalam hal ini, saya minta mereka berhenti. Saya serahkan kes ini kepada pihak polis untuk ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar semalam mengenai tindakan empat buah kedai jahit di Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur yang mengambil tempahan pakaian seragam pasukan polis dan tentera tanpa banyak soal.

Tukang jahit yang terdiri daripada warga Bangladesh terbabit langsung tidak meminta kad kuasa polis atau kad pengenalan anggota tentera untuk pengesahan mereka semasa menerima tempahan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah mengarahkan anggotanya membuat tempahan pakaian seragam secara individu sebaliknya dibuat secara berkumpulan oleh syarikat kontrak khas yang dilantik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...