WASHINGTON - Gempa bumi kuat yang berlaku di Chile pada Sabtu lalu telah menganjakkan paksi bumi sehingga menyebabkan hari menjadi lebih singkat, kata seorang saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).
Saintis itu, Richard Gross dalam satu kenyataan memberitahu, gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter itu menyebabkan paksi bumi berganjak sebanyak lapan sentimeter.
Menurutnya, pada kebiasaannya, satu hari di bumi mengandungi 24 jam kerana ia adalah jumlah masa yang diperlukan planet ini untuk membuat satu putaran lengkap pada paksinya.
Justeru, anjakan pada paksi menyebabkan putaran bumi terjejas.
Jelas Gross, anjakan paksi bumi itu memendekkan hari sebanyak 1.26 mikro saat.
Bagaimanapun, perubahan tersebut tidak dirasai kerana satu mikro saat cuma melibatkan masa satu persejuta saat.
Tambahnya, gempa bumi di Chile menyebabkan paksi bumi berganjak lebih besar berbanding gempa bumi bermagnitud 9.1 yang melanda Indonesia dan mencetuskan ombak besar tsunami di Asia pada 2004.
Ia berikutan garis patahan yang menyebabkan gempa di Chile menembusi bumi pada sudut yang lebih curam berbanding garis patahan dalam gempa bumi di Sumatera pada 2004.
Sudut lebih curam itu menyebabkan jisim bumi lebih mudah bergerak ke atas sekali gus menganjakkan paksi bumi.
Kata NASA, gempa bumi di Indonesia pada 2004 menyebabkan bumi berganjak sekitar tujuh sentimeter dan hari pula menjadi lebih pendek sekitar 6.8 mikro saat.
Sementara itu, angka korban gempa yang berpusat pada kedalaman 35 kilometer di bawah bumi dekat Concepcion iaitu bandar kedua terbesar di Chile setakat ini menghampiri 800 orang.
Semalam, para petugas penyelamat Chile yang dibantu sejumlah anjing pengesan menggeledah kawasan runtuhan dengan harapan dapat mengeluarkan mangsa yang masih hidup. - Agensi
No comments:
Post a Comment