Thursday, March 4, 2010

Ferrari perkenal sport hibrid


KERETA sport Ferrari hibrid diperkenalkan di Geneva Motor Show, Geneva semalam.


GENEVA - Pembuat kereta sport dari Itali, Ferrari memperkenalkan model yang merupakan sebuah kenderaan hibrid elektrik dan mampu memecut selaju 321 kilometer sejam (km/j), lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta yang dibina berasaskan model Ferrari 559 GTB Fiorano itu boleh bertukar antara kuasa elektrik tanpa mengeluarkan sebarang asap, kuasa petrol atau gabungan kedua-duanya.

Prototaip yang membuat penampilan pada hari pembukaan Geneva Motor Show di Switzerland itu telah memberi kejutan kepada pengunjung pameran tersebut.

Jurucakap Ferrari memberitahu, pihaknya telah mengaplikasikan teknologi kereta lumba Formula Satu miliknya semasa mereka bentuk dan membina motor elektrik baru terhadap kereta Ferrari 599.

Kereta Ferrari 599 itu menggunakan motor elektrik bagi 'membantu' enjin V12 bersesaran 6.0 liternya.

Sesuai dengan konsep mesra alam, kereta itu dicat dengan warna hijau metalik.

Model itu dijangka dijual pada harga dua kali ganda model petrolnya, 559 GTB Fiorano yang kini berharga AS$311,518 (RM1.05 juta).

Namun, apabila teknologi tersebut telah berusia empat tahun, harga sebuah kereta itu mungkin di bawah AS$451,488 (RM1.52 juta).

Semasa ia membrek, komponen elektrik pada sistem hibrid akan menyimpan tenaga yang terhasil dan digunakan untuk mengecaj bateri.

Satu lagi syarikat pembuat kereta berprestasi tinggi, Porsche mempamerkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Cayenne S versi hibrid.

Turut dipamerkan ialah Porsche 918 Spyder hibrid.

Kumpulan PSA Peugeot Citroen SA juga tidak ketinggalan melancarkan model hibrid keluarannya pada tahun 2012 di pameran itu. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...