Wednesday, May 19, 2010

Western Digital labur AS$1.2b


Western Digital (WD) Corporation bersetuju meluaskan lagi aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) pengeluarannya di Malaysia, yang membabitkan pelaburan bernilai AS$1.2 bilion.

Pengumuman itu dibuat pada pertemuan antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Western Digital Datuk Jhon F. Coyne dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Keputusan Western Digital menjayakan projek di sini juga dibuat susulan perbincangan dengan Perdana Menteri semasa lawatan kerja Najib ke Washington bulan lepas.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Western Digital memilih Malaysia untuk peluasan terkininya berikutan kejayaan operasinya di sini sejak 38 tahun lepas.

Pelaburan itu membabitkan pembinaan kemudahan baharu seluas 1.5 juta kaki persegi untuk R&D kepala magnetik dan komponen media serta pemacu cakera keras.

Pembinaan itu dijadual siap menjelang suku ketiga 2011 dan beroperasi pada kapasiti penuh dalam tempoh lima tahun berikutnya.

"Sebanyak 10,000 pekerjaan tambahan, yang sebahagian besarnya memerlukan pekerja berkelayakan tinggi, 100 lulusan PhD, 1,000 lulusan ijazah, 3,000 lulusan diploma dan sijil, akan diwujudkan," kata kenyataan itu.

Ini selari dengan matlamat model baru ekonomi bagi mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

Western Digital ialah peneraju global dalam pembangunan dan pengeluar pemacu keras dan pemacu padu untuk aplikasi dalaman, luaran, mudah alih dan storan perkongsian.

Syarikat itu yang akan meraikan ulang tahun ke-49 tahun ini, memulakan operasi di Malaysia sejak 1972, dengan jumlah pelaburan setakat ini sebanyak AS$2.5 bilion dan menyediakan 19,000 peluang pekerjaan.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...