Friday, May 7, 2010

Politeknik dinaik taraf universiti

Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan semua politeknik di negara ini dinaik taraf menjadi universiti politeknik pada tahun 2015 bagi meneruskan kecemerlangan institusi kemahiran itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini pihaknya dalam perancangan untuk memastikan institusi kemahiran itu mampu menawarkan diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana sehinggalah kepada Doktor Falsafah (Ph.D).

''Sekarang ini politeknik hanya menawarkan diploma sahaja. Apabila mereka sudah tamat pengajian, mereka terpaksa melanjutkan pengajian ke universiti.

''Perancangan kita ialah kita mahu mereka ini meneruskan pengajian dari diploma sehingga ke doktor falsafah. Negara memerlukan siswazah yang mempunyai kemahiran yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan surat tawaran kepada 211 orang lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dari Sibu yang mendapat tawaran ke politeknik dan 190 orang yang mendapat tempat ke IPTA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...