Friday, May 7, 2010

Indeks disasar 1,465 mata akhir tahun ini

Sektor perbankan, penjagaan kesihatan dan pengguna sebagai pilihan utama pelabur dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. Ketua Penyelidikan OSK Research Sdn. Bhd., Chris Eng berkata, pemilihan dibuat berdasarkan sentimen ekonomi global dan tempatan yang semakin pulih meskipun wujudnya ketidaktentuan pasaran dalam jangka pendek.


Beliau menjangkakan sektor perniagaan akan beroperasi seperti biasa menjelang suku ketiga tahun ini.

"Bagi tempoh jangka pendek iaitu dalam masa tiga bulan, para pelabur disarankan supaya meninjau sektor perbankan, pembinaan dan saham berkaitan dengan Sarawak.

"Saham syarikat automotif serta minyak dan gas (O&G) dilihat berpotensi bagi separuh kedua tahun ini berikutan sentimen pengguna yang kian pulih dan kemungkinan penyenaraian anak syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas)," katanya selepas melancarkan buku bertajuk 50 Jewels (Edisi 2010) Syarikat Bermodal Kecil Malaysia Teratas, di sini hari ini.

Eng berkata, pasaran saham bagi separuh pertama tahun depan dijangka baik berikutan pilihan raya negeri Sarawak dan penyenaraian Petronas dilihat merangsangkan minat O&G semula selain didorong oleh keadaan ekonomi global.

"Kami menjangka Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) berada pada paras 1,465 mata pada akhir tahun ini walaupun nilai yang munasabah yang ditetapkan sebelum ini adalah 1,345 mata,'' kata beliau sambil menambah nilai munasabah OSK Research pada tahun depan ialah 1,580.

Ditanya kesan pengukuhan nilai mata wang Ringgit terhadap pasaran saham, Eng berkata, pasaran saham agak seimbang dengan wajaran saham mewah dan kecairan dilihat positif.

"Ia memberi kelebihan untuk pihak yang terlibat dalam kegiatan pengimportan dan memberi kesan negatif terhadap pengeksport," tambah beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Timbalan Ketua Penyelidikan, Jeffrey Tan berkata, sebanyak 19 syarikat baru merentasi pelbagai industri dan sektor telah dipilih untuk penyertaan dalam buku tersebut.

Katanya, dua kategori baru juga ditambahkan iaitu perkhidmatan kewangan dan konglomerat.

"Syarikat-syarikat ini dipilih berikutan faktor mangkin harga saham positif bergerak ke depan, penilaian yang tiada permintaan dan asas yang kukuh dan meningkat," ujarnya.

Tan menjelaskan, buku tersebut menampilkan 50 syarikat tetapi berbanding edisi sebelumnya, nilai permodalan pasaran telah ditingkatkan kepada RM1.5 bilion dari RM1 bilion.

"Ini adalah untuk mengekalkan liputan mendalam dan meluas serta memastikan syarikat bermodal kecil yang lebih baik diwakili.

"Kesemua 50 syarikat tersebut mempunyai potensi peningkatan antara lima hingga 15 peratus," kata beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...