Wednesday, May 19, 2010

Kita mampu capai status negara maju


Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yakin Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang 2020 walaupun tidak mencapai sasaran purata kadar pertumbuhan tahunan tujuh peratus.

Rafidah berkata, kerajaan melakukan segala yang mungkin untuk memulihkan negara daripada kesan krisis kewangan global.

"Kita perlu berusaha lebih gigih untuk mencapai kadar pertumbuhan tinggi dalam tempoh sembilan tahun akan datang. Saya positif memandangkan masa dalam tempoh sembilan tahun, kita pasti mampu melakukannya, mungkin bukan betul-betul pertumbuhan tujuh peratus tetapi lebih enam peratus sudah cukup baik, kita mencapai ke arah itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerjanya di Forum Ahli Perniagaan Wanita Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Keenam, di sini, hari ini.



Menurut Rafidah, selain mencapai kadar pertumbuhan tahunan tinggi, Malaysia juga perlu mempunyai masyarakat maju mengikut acuannya sendiri menjelang 2020.

"Kita menyasarkan diri menjadi masyarakat maju mengikut acuan sendiri yang bermakna masyarakat kita pada 2020 akan menjadi satu masyarakat berbilang kaum, bersatu padu, bertoleransi, saling menghormati antara satu sama lain dan tidak berpecah belah," katanya.

Rafidah berkata, Malaysia masih memerlukan pelaburan langsung asing (FDI) pada masa hadapan kerana FDI bukan hanya datang dengan modal tetapi juga teknologi, pasaran, potensi bagi teknologi dipertingkat dan kapasiti kemahiran.

"Modal ditambah dengan teknologi, pengetahuan dan kepakaran baik bagi kita kerana faedah sampingannya sangat besar," katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat Malaysia perlu sentiasa bersedia untuk meneroka ke pasaran lain dan malahan ke negara-negara kecil bagi mengimbangi beberapa perdagangan negatif dengan pasaran utama.

Syarikat-syarikat tempatan, katanya, perlu agresif dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka untuk terus kekal kompetitif.

"Kita perlu memberitahu dunia bahawa kita mempunyai produk dan perkhidmatan yang sangat baik. Kita mesti melakukan ini di peringkat global," katanya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...