Friday, May 7, 2010

Ekonomi 9% tahun ini

Ekonomi dijangka tumbuh sekitar sembilan peratus tahun ini berikutan eksport yang bertambah baik dan meningkatnya perbelanjaan domestik, kata firma penarafan tempatan, RAM Holdings Bhd. (RAM) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri C. Rajandram berkata, peningkatan pertumbuhan ekonomi dilihat cukup positif berikutan ramalan perkembangan pesat pada separuh kedua tahun ini dengan kadar tempahan dan permintaan yang tinggi.

Walaupun ekonomi dunia masih belum stabil, sektor eksport Malaysia didapati semakin meningkat.

"Tanda-tanda pemulihan itu akan mewujudkan satu fenomena yang memberangsangkan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia," kata beliau selepas mesyuarat agung tahunan RAM Holdings di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu, RAM mengekalkan kedudukan kewangan yang baik dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11.52 juta dengan perolehan RM49.34 juta.

Menurut Rajandram, pihaknya melihat prestasi ekonomi pada separuh pertama tahun ini juga cukup memberangsangkan berikutan pencapaian suku pertama yang amat baik.

Katanya, kesan penstrukturan semula ekonomi kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan China, memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi tempatan khususnya pada suku pertama tahun ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, terbitan sukuk untuk tahun ini dijangka perlahan berbanding tahun lalu tetapi akan kembali rancak sebaik sahaja keadaan pasaran kembali seperti sedia kala, dirangsang oleh pelaburan dan pembiayaan besar terutamanya di negara-negara Asia dan Teluk.

Pertumbuhan sukuk lembap sejak enam bulan lepas ekoran keadaan pasaran kredit yang kurang memberangsangkan.

"Sebaik sahaja keyakinan kembali mungkin dalam enam hingga sembilan bulan ini, terbitan sukuk akan mempamerkan semula aliran penguasaannya dan kembali mencatat pertumbuhan dua digit," katanya.

Sementara itu, RAM menyasarkan bon korporat bernilai RM50 bilion hingga RM60 bilion akan diterbitkan pada tahun ini berbanding RM59 bilion tahun lalu.

Terbitan bon korporat menunjukkan peningkatan 18 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2008.

Rajandram berkata, jumlah bilangan terbitan bon yang mengalami mungkir bayar adalah lebih baik berbanding jangkaan.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...