Malaysia dan China mencatatkan prestasi perdagangan yang lebih baik tetapi pelaburan China di Malaysia masih lagi sedikit, kata Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Konsul Pelaburan merangkap Pengarahnya di Shanghai, Lee Yong Ming berkata, MIDA telah meluluskan 17 projek pelaburan China bernilai AS$47.4 juta (RM152.32 juta) pada 2009 manakala jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai AS$51 bilion (RM163.88 bilion) tahun lepas.
"Justeru itu, MIDA mengalu-alukan pelabur China, terutamanya perusahaan di Wenzhou, untuk meneroka Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan, bukan hanya dalam perdagangan tetapi juga pelaburan," katanya semasa ditemui di misi perdagangan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak ke Wenzhou dari 10 hingga 15 Mei.
Misi perdagangan yang disertai 20 pegawai kerajaan negeri dan juga ahli perniagaan itu diketuai oleh Exco Kanan Negeri, Datuk Hamidah Osman.
Yong Ming berkata, Malaysia mempunyai dasar pelaburan yang liberal dalam pembuatan, sektor berkaitan pembuatan dan sektor perkhidmatan dan justeru itu, pelabur China harus meneroka insentif dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan.
"Perusahaan Wenzhou harus melawat Malaysia dan Perak untuk meneroka peluang pertumbuhan perniagaan yang besar di negara itu," katanya.
Ahli perniagaan dari Malaysia dan China perlu merebut peluang itu untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dua hala kerana Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengan China.
No comments:
Post a Comment