Apakah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan malam nisfu Sya’ban dan amalan yang patut dilakukan?
Jawapan: Ya, terdapat hadith sahih mengenai kebaikan malam
nisfu Syaaban, tetapi amalan-amalan tertentu khas untuk malam tersebut
adalah tidak sabit daripada Nabi s.a.w. Antara hadith yang sahih
mengenai nisfu Sy`aaban adalah:
يطلع الله تبارك وتعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban,
maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik)
dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar
dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah
al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, Riyadh: Maktabah al-Ma`arf).
Hadith-hadith tentang Nisfu Sya’ban tidak mengajar kita apakah bentuk
amalan khusus malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada
malam tersebut seperti baca yasin sempena Nisfu Sya’ban, solat-solat
khas tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi
dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:
“Tidak pernah
diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka
berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a
tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian
negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun
pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah
Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang
lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka
membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para
sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang
menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang
maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan
dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan
diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan
dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan
itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang
diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap
yang sesat itu dalam neraka.
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Allah Lebih Mengetahui
No comments:
Post a Comment