Monday, July 18, 2011

Wanita India Paling Tertekan Di Dunia


Wanita India mendahului senarai golongan paling tertekan di dunia manakala wanita Malaysia berada pada kedudukan ke-16, menurut satu kaji selidik baru-baru ini mengenai tahap tekanan perasaan yang dihadapi wanita.

Wanita di India hidup dan bekerja dalam suasana penuh tekanan, menurut kaji selidik terbaru yang disediakan oleh syarikat media dan maklumat Nielsen. Kajian itu menyelidiki corak membeli dan tingkah laku sosial wanita-wanita di seluruh dunia.


Kaji selidik yang dijalankan di 20 negara membangun dan ekonomi yang baru muncul di dunia, mendedahkan bahawa wanita di seluruh dunia berasa tertekan dengan wanita di negara-negara yang dikatakan baru muncul berdepan dengan tekanan yang hebat berbanding wanita di negara-negara maju.

Wanita India adalah golongan paling tertekan (87 peratus), diikuti oleh Mexico (74 peratus) dan wanita Rusia (69 peratus). Di negara-negara maju, tahap tekanan perasaan tertinggi dihadapi wanita Sepanyol (66 peratus), Perancis (65 peratus) dan Itali (64 peratus).

Wanita Malaysia (44 peratus) berada pada kedudukan ke-16 dengan wanita di Thailand (45 peratus) berada pada tempat ke-15 dengan Korea Selatan (45 peratus). Wanita Asia lain iaitu Jepun (52 peratus) berada pada kedudukan ke-12 dan wanita di tanah besar China (51 peratus) pada kedudukan ke-13. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...