Sunday, March 16, 2014

Siasatan kini ke anak kapal, penumpang MH370

www.facebook.com/yoyoykamphoraspa
SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata berdasarkan perkembangan terkini misi mencari pesawat MH370, pihak berkuasa telah mengubah tumpuan penyiasatan mereka kepada anak kapal dan penumpang pesawat itu.
  
Najib berkata pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan, sebab kenapa penerbangan MH370 itu menyimpang daripada laluan asalnya menuju ke Beijing, selepas disahkan bahawa pesawat yang dilihat dalam data radar utama ialah MH370.
  
"Sepanjang tujuh hari lepas kami telah menjejaki setiap penunjuk dan meneliti setiap kemungkinan. Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami harap maklumat baharu ini akan membawa kita lebih hampir kepada penemuan pesawat itu," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.
  
Najib juga telah mengarahkan Kementerian Luar supaya memberikan penerangan penuh kepada kerajaan-kerajaan asing yang mempunyai penumpang di dalam pesawat berkenaan.

Najib juga mengarahkan pihak berkuasa Malaysia supaya berkongsi semua maklumat yang berkaitan secara bebas dan telus dengan pasukan penyiasatan yang lebih besar, negara-negara jiran dan rakan antarabangsa yang menyertai operasi bersama itu.
  
Setakat hari ini 14 negara, 43 buah kapal dan 58 pesawat terlibat dalam pencarian itu.
  
Beliau berkata walaupun begitu hangat spekulasi yang disebarkan, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab terhadap penyiasatan yang dilakukan dan keluarga terlibat, untuk hanya mengeluarkan maklumat yang telah dipersetujui dan disahkan bersama.
  

"Dorongan utama kami sudah semestinya untuk menemui pesawat yang dicari. Sepanjang tujuh hari lepas, kami telah menjejaki setiap penunjuk dan meneliti setiap kemungkinan," katanya.
  
Beliau menambah kata Malaysia Airlines telah memberitahu kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu tentang perkembangan baharu ini pagi tadi.
  
"Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami berharap maklumat baharu ini akan membawa kita lebih hampir kepada penemuan pesawat itu. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan keperitan yang mereka lalui kini. Ingatan dan doa kita bersama mereka," katanya. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...