SHAH ALAM - 'Raja Bomoh' yang melakukan ritual di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kononnya bagi membantu
usaha mengesan kehilangan pesawat MH370, bakal dikenakan tindakan mengikut
Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Zaharin
Mohd Saad berkata, tindakan itu akan dikenakan ke atas Ibrahim Mat Zin, 80,
jika siasatan Jais mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam
sebenar.
"JAIS menerima banyak aduan daripada orang ramai,
termasuk melalui laman sesawang dan Facebook Jais, berhubung perbuatan dia.
"Merujuk kepada aduan itu, Jais sedang meneliti dan
menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri
Selangor," katanya kepada pemberita di sini.
Rabu lepas, Ibrahim dilapor melakukan ritual ala-ala 'tikar
terbang' dengan disertai beberapa lelaki memegang dua biji kelapa yang tidak
diketahui fungsinya.
Dua hari sebelum itu, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan
ritual menggunakan bubu mata pancing.
Mengulas lanjut, Ahmad Zaharin berkata, pihaknya juga masih
melakukan pemantauan di KLIA bagi mengekang kegiatan itu daripada berulang. -
Bernama
No comments:
Post a Comment