Sunday, March 16, 2014

Emosi keluarga penumpang MH370 dari China semakin tenang

www.yoyoyspa.com

CYBERJAYA: Emosi waris dan ahli keluarga penumpang Penerbangan MH370 warganegara China yang ditempatkan di Hotel Cyberview, Resort and Spa sejak Selasa lalu, kini dikatakan mulai tenang selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perkembangan terbaharu operasi mencari yang memasuki fasa baharu, petang semalam.

Seorang pegawai Malaysia Airlines (MAS) yang enggan dikenali berkata, lebih kurang 30 ahli keluarga penumpang terbabit dibawa ke sebuah bilik di hotel berkenaan pada jam 2 petang semalam, untuk mendengar siaran langsung pengumuman Najib melalui televisyen mengenai perkembangan kes kehilangan pesawat itu.
Emosi ahli keluarga berkenaan dilaporkan tidak stabil pada hari pertama mereka tiba di Malaysia dan ada di kalangan mereka kelihatan murung dan ada yang menangis.


Katanya, setiap keluarga penumpang pesawat warga China itu dijaga dua pegawai Malaysia Airlines dan pihak pengurusan juga membuka bilik rawatan sepanjang mereka berada di hotel itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan maklumat terkini, pesawat yang dikesan radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sabtu lalu disahkan pesawat MH370 yang berpatah balik, dan menghala ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia sebelum bergerak ke arah barat laut.

Pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk kru penerbangan itu dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac lalu.

- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...