KUANTAN - Kapal KD Kasturi milik Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) akan terus membantu operasi Mencari dan Menyelamat (SAR)
pesawat MAS MH370 sehingga menerima arahan selanjutnya daripada Pusat Operasi
TLDM.
Pegawai Memerintah KD Kasturi Komander Mohd Zaidi Ibrahim
berkata semua anak kapal mempunyai motivasi tinggi untuk meneruskan usaha
menjejak pesawat itu, yang hilang sejak Sabtu lepas.
"Semua 158 anak kapal KD Kasturi termasuk pegawai,
tidak berdepan sebarang masalah untuk terus menyertai operasi SAR ini.
"Sejak menyertai operasi SAR bersama kapal dari
pelbagai negara pada Ahad lepas, kita tidak menemui sebarang kesan tumpahan
minyak atau serpihan...kita masih tidak berputus asa.
"Semua kawasan dikenal pasti sebagai lokasi terakhir
pesawat itu juga sudah diperiksa dan tidak menemui apa-apa kesan," katanya
kepada pemberita di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, hari ini.
Kapal KD Kasturi berlabuh di pangkalan itu bagi memuat naik
bekalan makanan dan mengisi minyak selepas seminggu belayar menyertai operasi
SAR di perairan Laut China Selatan.
Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Ketua Markas TLDM
Wilayah 1, Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid.
Selain memuat naik bekalan makanan mencukupi untuk tempoh
dua minggu, sebanyak 180,000 liter minyak diesel turut diisi bagi membolehkan
KD Kasturi belayar sejauh kira-kira 2,000 batu nautika.
Dalam pada itu, seramai 10 pemberita dibenarkan menaiki bot
tempur TLDM sejauh kira-kira 15 batu nautika (40 kilometer) dari pangkalan itu
untuk meninjau operasi SAR di kawasan Laut China Selatan, yang turut disertai
anggota maritim China Coast Guard.
Seramai empat anggota maritim China yang berada di atas
kapal mereka kemudian melambai-lambai ke arah bot TLDM sebagai simbolik mereka
masih meneruskan operasi membantu TLDM dalam misi SAR berkenaan.
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke
Beijing dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL pada 12.41 pagi, Sabtu.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi
hari yang sama. Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari
kelapan hari ini, masih gagal mengesan pesawat itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment