SEPANG - Hari ini sudah masuk hari keenam pesawat MH370
dilaporkan hilang namun masih tiada perkembangan positif yang disampaikan pihak
berkuasa.
Apa yang menyedihkan, pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas
negara ini termasuk melewat-lewatkan operasi mencari serta sengaja
menyembunyikan maklumat tentang operasi mencari dan menyelamat (SAR) tersebut.
Media asing pula seolah-olah menambah rencah episod hitam
ini apabila kerap mengeluarkan teori atau fakta yang mengelirukan berkaitan
kehilangan MH370.
Sehubungan itu, sidang media yang diadakan setiap hari sejak
Sabtu lalu seolah-olah menjadi medan penafian buat negara ini. Jika
diperhatikan daripada hari pertama insiden MH370 berlaku sehingga ke hari ini,
tekanan jelas kelihatan pada wajah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad
Jauhari Yahya namun beliau tetap tenang menjawab segala persoalan diasak oleh
pihak media.
Kadang-kadang penulis terfikir, apa yang bermain di fikiran
beliau? Pada sidang media ini, jawapan yang dinantikan oleh para media untuk disampaikan
kepada umum sudah tentunya, 'MH370 sudah ditemui' tetapi bukan itu yang
didengar setakat ini.
Hampa namun kami percaya pihak terbabit sudah melakukan
sehabis baik untuk mengesan lokasi MH370. Jadi, ke mana perginya MH370 ini?
Nampaknya, gabungan teknologi dan tenaga dari 12 negara pun
masih belum mampu memberi jawapan kepada teka-teki ini. Pelbagai teori,
jangkaan mahupun kemungkinan bermain di fikiran namun jawapannya masih rahsia
ALLAH.
Marilah kita sama-sama berdoa agar jawapan yang bakal kita
temui itu yang terbaik dan semoga semua pihak yang terbabit dengan insiden ini
reda dengan ketentuan-Nya.
No comments:
Post a Comment