SHAH ALAM – Pengesahan pesawat MAS MH370 berpatah balik menguatkan lagi kemungkinan pesawat itu dirampas.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk
Ishak Yeop Hamzah berkata, ia juga berdasarkan lingkungan kawasan pesawat itu
boleh pergi, yang menyimpang daripada laluan asalnya ke Beijing, China setelah
komunikasi terakhir dengan satelit pada jam 8.11 pagi, Sabtu minggu lalu.
“Ini bermakna ada seseorang yang berjaya masuk ke dalam
kokpit dan menyuruh juruterbang pergi ke destinasi dikehendakinya. Teori
rampasan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pesawat itu
dipandu oleh orang yang arif mengenai penerbangan.
“Individu yang merampas pesawat itu mungkin memberi arahan
kepada juruterbang. Ataupun mungkin individu itu sendiri yang membawa pesawat
itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam
sidang media mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama
merupakan pesawat MH370 yang telah menyimpang dari laluan asalnya.
Berikutan itu, pencarian MH370 kini ditumpukan di dua
koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan
dan Koridor Selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan
Hindi.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, motif rampasan dan individu
yang melakukannya masih samar berikutan banyak faktor boleh dikaitkan sambil
tidak menolak ia dilakukan lebih daripada seorang.
“Mungkin rampasan itu dilakukan kumpulan pengganas yang
tidak digazet. Kebiasaannya dalam rampasan pesawat, motifnya untuk meminta wang
tebusan.
“Walaupun hingga kini masih tiada tuntutan dibuat, bukan
bermakna tidak berlaku rampasan. Ada kemungkinan pesawat tidak mendarat di
tempat yang diingini membuatkan tuntutan tidak dapat dibuat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau lebih cenderung melihat motif peribadi
sebagai faktor rampasan pesawat.
Oleh itu, katanya, siasatan teliti terhadap karakter dan
latar belakang anak kapal dan penumpang penting bagi mengenal pasti punca
rampasan dilakukan.
“Profiling penting kerana mungkin ada penumpang yang sakit
jiwa dan sebagainya. Rampasan pesawat bukan mudah, tetapi kalau seseorang itu
mengalami gangguan mental, apa saja dia boleh lakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment