Ramadan sudah berlalu, Syawal juga sudah meninggalkan kita, Dzulqaedah pula menjelma….jom kita kekalkan amalan ramadan kita di 11 bulan yang lain pula. Barulah lulus ujian Ramadan kita.
Mari kita ketahui fadhilat kebaikan dan keistimewaan solat malam.
Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-
- Jauh daripada segala penyakit
- Lahir kesan taqwa pada wajahnya
- Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
- Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
- Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
- Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
- Dipermudahkan hisab
- Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
- Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”
Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim).Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:
- Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
- Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
- Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
- Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
- Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).
No comments:
Post a Comment