Wednesday, December 8, 2010

Boleh naik tarif air, tapi tak lebih 15 peratus


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan sebarang kenaikan tarif air di negeri itu tidak seharusnya melebihi 15 peratus.

“Jika harga (air) sekarang 57 sen, had kenaikan saya ialah 15 peratus,” kata Khalid pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu pada sidang DUN pagi tadi, Khalid berkata, kerajaan negeri bersedia untuk pergi ke mahkamah bagi menghalang Syabas daripada melaksanakan kenaikan tarif lebih tinggi di negeri itu.

Khalid (gambar) berkata, Laporan Audit Negara menunjukkan Syabas ketika menguruskan konsesi air negeri tersebut tidak mengikut terma-terma yang dipersetujui bersama dengan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri Selangor bersedia untuk pergi ke mahkamah untuk menentukan sikap kerajaan negeri benar atau tidak.

“Kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan pelaksanaan perjanjian yang dibuat dengan Syabas dengan kerajaan negeri Selangor sebab Laporan Audit Negara menunjukkan terma-terma yang dijanjikan dalam perjanjian tersebut tidak dilaksanakan oleh pihak Syabas,” ujar Khalid.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun turut menuntut Syabas mendedahkan laporan audit dan inti perjanjian konsesi air kepada umum demi kepentingan umum.

Khalid berkata, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan syarat perjanjian Syabas yang mahu menaikkan tarif sehingga 25 peratus untuk tempoh sehingga 2013.

Pada 2009, Syabas bercadang menaikkan tarif air 32 peratus manakala pada 2011 dan 2013 masing-masing sebanyak 25 peratus dan 20 peratus.

“Perjanjian yang telah ditandatangani kerajaan negeri bahawa tarif air boleh dinaikkan oleh Syabas walaupun mesti mendapat (keputusan) kerajaan negeri.

“Kalau perjanjian ini dilaksanakan, air yang kita guna iaitu harga sekarang 57 sen untuk satu liter padu, ia akan jadi RM1.17 untuk satu liter padu.

“Kerajaan Selangor sejak 2008, tidak bersetuju dengan kenaikan ini sebab kenaikkan ini sangat tinggi... kerajaan negeri tidak bersetuju sebab membebankan rakyat,” ujarnya.

Katanya, cadangan kerajaan pusat untuk menyelesaikan konflik kepentingan antara kerajaan Selangor dengan empat pemilik saham konsesi air iaitu Syabas, Puncak Niaga, Konsortium Abbas Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor turut dianggap tidak menguntungkan kerajaan negeri.

“Oleh sebab perjanjian telah dibuat pada 2004, kerajaan pusat cuba menyelesaikan masalah ini dengan mengadakan satu undang-undang baru yang dipanggil Wasi (Akta Industri Air) untuk menyusun semula semua koperasi air termasuk di Selangor.

“Dalam rundingan dengan kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor sanggup membeli seluruh konsesi air  yang ada sekarang, daripada Abbas, Splash, Syabas dan Puncak Niaga dengan harga RM5.7 bilion.

“Harga tersebut membeli pulangan (keuntungan) kepada semua pemilik konsesi dengan pulangan tidak kurang 12 peratus setahun.

“Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan dengan beberapa langkah mencadangkan dari RM5.7 bilion (cadangan Selangor) pergi pada RM9.3 bilion,” jelas Khalid.

Kerajaan negeri, menurut Khalid, boleh menerima cadangan kerajaan pusat dengan syarat tarif kenaikan tidak melebihi 15 peratus.

“Jadi pada masa ini, perbincangan (dengan kerajaan pusat dan beberapa syarikat konsesi air) masih lagi dibuat dan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dalam soal kenaikan harga air,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2011 kelmarin berkata, kerajaan negeri bersedia dengan kemungkinan terlibat dalam penstrukturan air yang dijangka selesai pada hujung tahun depan.
Share it with others

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...