Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke-51 selama seminggu akan bermula Rabu ini, bersamaan 14 hingga 21 Syaaban di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Asiah Alkharib Shah memberitahu Bernama, setakat ini, 69 orang qari dan qariah dari 43 negara mengesahkan penyertaan yang di antaranya adalah dari Arab Saudi, Afghanistan, China, Croatia dan India.
Malaysia akan diwakili qari dari Sarawak, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan dan qariah dari Perak, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman yang muncul johan qari dan qariah peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Universiti Teknologi Petronas, Bandar Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.
Asiah berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual merasmikan tilawah sementara majlis penutup bakal dilakukan oleh Sultan Kedah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Alhaj.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dijangka turut hadir pada majlis perasmian dan penutup.
Majlis yang diadakan setiap tahun ini adalah diharapkan akan terus membudayakan minat membaca Al-Quran di kalangan Muslimin, di samping mempertingkatkan syiar Islam di dalam negara, kata Asiah.
No comments:
Post a Comment