BERPANTANG EMPAT PULUH EMPAT HARI
Selama
empat puluh empat hari, dikira dari hari pertama bersalin, adalah
diadatkan kepada ibu tersebut untung menjalani pantang. Ini bererti ibu
tersebut ditegah daripada makan sebarangan mengikut kehendaknya atau
membuat apa-apa jua kerja rumahtangga, walaupun bangun berjalan
meninggalkan tempat tidurnya. Selepas tujuh hari barulah ibu tersebut
dibenarkan berjalan sedikit-sedikit, itu pun hanya di dalam rumahnya
sahaja. Pantang ini adalah dianggap suatu perkara yang penting
sekalipun ibu tersebut merasakan yang dia sudah boleh membuat sebarang
aktiviti seperti biasa dilakukan. Ketika dalam berpantang, ibu tersebut
akan dikehendaki memakai stoking atau membalut kakinya dengan kain
bagi mengelakkan angin memasuki badan. Di dahinya pula akan dilumurkan
ubat yang bertujuan menarik angin keluar dari badan.
Berpantang
bukan sahaja melibatkan pemakanan dan kesihatan diri ibu tersebut. Si
suami juga tidak digalakkan untuk meniduri isterinya ketika si isteri
sedang berpantang. Ini kerana dalam tempoh berpantang, si isteri akan
berasa lemah badan dan sakit ketika bersalin masih belum hilang
sepenuhnya. Selain itu, isteri juga akan mengalami darah nifas yang
hanya keluar selepas bersalin dan keadaan ini menimbulkan rasa kurang
selesa bagi isteri untuk didatangi suaminya.
Di
antara ubat yang dipakai dan dimakan oleh ibu bersalin biasanya adalah
ubat yang diberikan oleh tok bidannya sahaja. Selain daripada ubat
yang dimakan dan dipakai, ibu tersebut juga akan menjalani kaedah
bertungku (tuam) di perutnya sehari sekali selama tempoh pantangnya.
Ada sesetengah bidan menggantikan kerja-kerja bertungku dengan
berdiang. Ibu-ibu akan diberikan makanan yang boleh mendatangkan sumber
darah di dalam badannya bagi menggantikan darah yang telah banyak
hilang semasa bersalin, contohnya limpa dan hati. Makanan tersebut juga
akan dimasak mengikut cara tertentu yang boleh membantu menghilangkan
angin di dalam badan dan mengecutkan segala urat saraf yang telah
mengembang. Ibu-ibu juga biasanya dinasihatkan memakan jamu yang dapat
memulihkan semula tenaga dan memperbaiki tekstur dan bentuk tubuh badan
mereka seperti sediakala.
Namun
begitu, bagi masyarakat sekarang, bersalin di hospital adalah lebih
selamat dan mudah. Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin
akan tetap diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk menjamin kesihatan
ibu tersebut.
No comments:
Post a Comment