Penjagaan selepas seseorang ibu yang bersalin amat penting bagi mempercepatkan
proses pemulihan. Selepas seseorang ibu bersalin dia sepatutnya pulih seperti
sediakala, iaitu dari segi kesihatan rohani juga mentalnya, kejelitaannya serta
bentuk badannya.
Setelah selamat melahirkan anak, ibu dan bayi hendaklah ditempatkan ataupun
diasingkan dalam sebuah bilik atau ruang khas daripada ahli keluarganya yang
lain. Dalam tempoh pantang si ibu dilarang berjalan atau membuat sebarang kerja
yang berat. Semasa dalam pantang kesihatan ibu dan bayi dijaga dengan rapi.
Semua kerja penjagaan bayi diuruskan oleh ibu kepada wanita yang bersalin atau
orang yang dibayar khas untuk menjaga ibu dan bayi Tukang urut akan datang
selama hari berpantang untuk dan mcnjaga, memandikan, menyapu minyak ubat,
Kapur dan limau pada perut si ibu. Selain itu tukang urut juga akan memasangkan
bengkung pada perut ibu yang baru bersalin.
PEMULIHAN SECARA TRADISIONAL
Ubat-ubatan selalunya disediakan oleh bidan kampung untuk memulihkan semula
kesihatan ibu. Kini ubat-ubatan boleh dibeli ubat tradisional. Kebanyakan ubat
tersebut diperbuat daripada akar-akar
kayu yang dimasak dan airya diminum. Jamu
dan majun adalah ubat tradisional yang kerap dimakan oleh ibu bersalin. Ia
diperbuat daripada akar kayu, rempah dan dicampur dengan manisan lebah atau
minyak sapi.
Bertangas
Perubatan secara tradisional masih mendapat perhatian ramai dinegara ini kerana
ia terbukti bermanfaat. Salah satu amalan baik untuk ibu yang baru bersalin
ialah 'bertangas'.
Tujuan utama bertangas ialah untuk
mengecutkan rahim serta saluran peranakan juga mengeluarkan kekotoran daripada
badan ibu bersalin. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah daun senduduk dan
sabut kelapa. Asap daripada bahan tersebut diasapkan pada selurnh anggota badan
ibu. Amalan ini jika dilakukan pada setiap hari selama masa pantang dapat
memberi kesegaran kepada tubuh ibu tersebut. Kulit ibu akan menjadi tegang
semula dan berwarna kekuningan kerana diresapi oleh asap bahan tangas itu.
Bertungku
Satu lagi amalan tradisi yang perlu dilakukan oleh ibu dalam pantang ialah
bertungku. Ia dilakukan selepas bertangas dan membersihkan diri.
Bahan yang dijadikan tungku ialah
sebiji batu pejal yang sederhana besarnya. Batu ini perlu dipanaskan terlebih
dahulu. Setelah panas, batu tungku tadi hendaklah dibalut dengan kain. Kemudian
ia diulitkan pada anggota tubuh badan wanita berkenaan terutama bahagian
perut.
Bertungku dikatakan boleh
menghindarkan kulit perut serta anggota tubuh lain daripada menjadi
berkedut-kedut. Bertungku dan bertangas ketika dalam pantang memang mendatangkan
manfaat. Bagaimanapun dalam amalan tradisional, wanita yang menggunakan tungku
panas boleh mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Kesakitan dapat
dikurangkan dengan meletakkan tungku.
Berbengkung
Amalan memakai bengkung masih dilakukan oleh kebanyakan wanita melayu selepas
mereka bersalin. Amalan berbengkung biasanya dilakukan dalam masa pantang selama
kira-kira 44 hari. Berbekung dapat memberi sokongan kepada otot-otot perut dan
mengendurkan otot-otot pada bahagian punggung akibat kehamilan. Amalan ini juga
memberi keselesaan kepada wanita selepas melahirkan anak.
Wanita yang berbengkung memerlukan kain kira-kira 10 meter panjang dan 45 cm
lebar. Kain ini dijahit supaya kelihatan kemas ketika dipakai. Untuk memakai
bengkung, wanita berkenaan memerlukan seorang pembantu bagi melilit kain
bengkung di sekeliling anggota paha, punggung dan perutnya.
Sebelum bengkung dipakai, minyak ubat atau kapur bercampur asam limau
disapukan pada perut wanita tersebut. Ini bertujuan untuk mengecutkan anggota
perut seperti sediakala dan supaya perut tidak dimasuki angin.
Berurut
Berurut selepas bersalin masih diamalkan oleh kebanyakan wanita Melayu. Walaupun
urut adalah perbuatan yang pasif, namun ia memberi keselesaan kepada otot-otot
badan yang menjadi tegang semasa proses kehamilan. Berurutjuga dikatakan dapat
menyegarkan badan yang lemah tetapi ia tidak dapat memperkukuhkan saraf dan otot
badan.
Biasanya urut dilakukan setelah disapu dengan minyak
ubat. Ini bertujuan untuk melicinkan pergerakan semasa proses mengurut dan badan
juga tidak terasa sakit.
Makan Ubat/Jamu
Selepas bersalin kebanyakan wanita Melayu akan memakan jamu atau majun. Jamu
boleh dibeli atau diramu sendiri daripada akar kayu dan rempah ratus. Ramai
wanita makan jamu selepas bersalin bertujuan untuk mempercepatkan proses
pemulihan badan mereka. Kebanyakan wanita berasa kesejukan selepas
melahirkan anak.
Oleh itu mereka memakan jamu bagi memanaskan badan dan memberi keselesaan kepada
badan. Tetapi bagi ibu yang menyusukan anak mereka, memakan jamu atau majun
dikatakan akan mengganggu penyusuan. Ini boleh menyebabkan bayi mendapat
cirit-birit.
PANTANG LARANG MAKANAN SELEPAS BERSALIN
Seseorang ibu yang melahirkan anak akan dijaga selama 44 hari. Masa ini juga
dikenali sebagai masa berpantang dan ibu yang baru bersalin akan dikenakan
beberapa pantang larang. Dalam tempoh ini kesihatan ibu dijaga dengan begitu
rapi. Di antara makanan-makanan yang dilarang semasa dalam pantang adalah
seperti berikut:
1.
Makanan yang boleh menyebabkan gatal seperti udang, sotong, ayam dan
lain-lain.
2.
Makanan yang sejuk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, teh dan lain-lain.
3.
Makanan yang tajam seperti nanas, air tebu dan sebagainya.
4.
Makanan yang berangin seperti nangka, pulut, petai, ubi kayu dan
sebagainya.
5.
Makanan yang beracun atau berbisa seperti pisang, roti yang dicampur dengan ibu
roti dan sesetengah jenis ikan seperti pari, terubuk dan sebagainya.
6.
Makanan yang berminyak seperti santan, kacang, minyak masak dan sebagainya.
Makanan ibu semasa dalam pantang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan kesihatan
ibu terutama ibu yang menyusukan anak. Jika hal ini tidak diambil berat,
kesihatan anak juga turut terjejas umpamanya anak terkena ruam panas, kembung
perut dan sebagainya.
Selain itu makanan sejuk boleh menyebabkan kebas, pening, sakit urat saraf,
sesak nafas, sakit sendi, kejang-kejang otot, kancing gigi dan turun darah.
PANTANG LARANG LAIN
Selain daripada makanan terdapat pantang larang lain yang bersangkutan dengan
ibu yang baru bersalin. Pantang larang ini diadakan untuk kebaikan ibu itu
sendiri.
Sewaktu berjalan hendaklah secara perlahan dan cermat. Bendul tidak boleh
dilangkah. Ini kerana dikhuatiri ibu jari kaki tersepak bendul yang boleh
menyebabkan tumpah darah atau tersungkur. Tumpah darah yang berterusan boleh
membawa maut.
Jangan mengangkat benda-benda yang berat kerana ia boleh memudaratkan ibu.
Jauhkan daripada sesuatu yang boleh menyebabkan rasa terkejut. Ini boleh
mengakibatkan darah naik ke kepala dan ini boleh menjejaskan kesihatan ibu.
PANTANG LARANG BAGI BAYI/KANAK-KANAK
Terdapat beberapa pantang larang bagi bayi dan kanak-kanak yang diamalkan oleh
masyarakat Melayu yang masih berpegang pada adat. Di antara pantang larang yang
berkaitan dengan bayi dan kanak-kanak adalah seperti berikut:
1.
Bayi tidak boleh dicium sewaktu tidur, terutama pada ubun-ubun juga pada
pusatnya. Ini dikatakan akan memendekkan umurnya.
2.
Tapak tangan bayi juga tidak boleh dicium. Ini dikatakan akan menyebabkannya
apabila besar nanti suka meminta-mnta pada orang lain.
3.
Bayi tidak boleh didukung atas bahu kerana dikatakan apabila besar akan melawan
cakap ibu bapa.
4.
Sisa makanan bayi tidak boleh dimakan oleh ibu atau bapa kerana dipercayai anak
itu akan melawan cakap tua/ibu
bapanya.
5.
Rambut bayi tidak boleh disikat, nanti giginya tumbuh jarang.
6.
Dilarang memicit mulut bayi, nanti bayi tidak mahu makan.
7.
Kain lampin bayi juga tidak boleh direndam, nanti perut bayi menjadi
kembung.
8.
Kain lampin bayi juga tidak boleh diperah selepas dibasuh, nanti bayi kerap
menggeliat.
9.
Bayi tidak boleh diletak atas lutut, nanti bayi mendapat sakit perut.
10.
Kepala bayi tidak boleh dilangkah kerana dipercayai malaikat sedang
mengawasinya.
No comments:
Post a Comment