SOSILAWATI (tengah) bersama enam anaknya. Depan dari kiri, Erni Rineelawati, Erni Dekritawati Yuliana; belakang dari kiri, Erwan Suwari Rizuwan, Siti Nur Fatimah, Erni Erinawati Sofia dan Md. Erwan Nasri.
SHAH ALAM 3 NOV 10: Enam anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya semalam memfailkan tuntutan saman ganti rugi bernilai RM60 juta terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan dan lima individu lain kerana didakwa membunuh dan melupuskan mayat ibu mereka akhir Ogos lalu.
Enam anaknya terdiri daripada Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari Rizuwan, Md. Erwan Nasri, Erni Erinawati Sofia, Erni Rineelawati dan Siti Nur Fatimah memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pukul 8.45 pagi semalam. Bagaimanapun, kesemua anak Sosilawati tidak hadir di mahkamah.
Selain Pathmanabhan, mereka juga menamakan K. Kathavarayan, R. Mathan, T. Thilailayagan, J. Sarawanan dan U. Suresh, kesemuanya pekerja ladang milik Pathmanabhan, sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, kesemua anak Sosilawati antara lain mendakwa kematian ibu mereka pada usia 47 tahun telah menyebabkan mereka trauma dan mengalami penderitaan yang berterusan. (Kosmo! Online)
No comments:
Post a Comment