Monday, November 2, 2009

KENAPA SUKA BERCERITA TENTANG ORANG LAIN (MENGUMPAT) ?

SEBAB-SEBAB BERLAKU GHIBAH (MENGUMPAT)

Ada beberapa perkara yang menarik orang kepada suka mengumpat, di antaranya:

Pertama: Untuk memuaskan hati, iaitu apabila berlaku sesuatu sebab yang menaikkan kemarahannya, kerana manusia tatkala sedang meluap-luap kemarahannya, hatinya akan merasa puas bila ia dapat menyebut-nyebut keburukan-keburukan orang yang dimarahinya itu.
Pendek kata kedengkian yang menyebabkan dendam kesumat dan kemarahan itu adalah pendorong yang utama kepada sifat ghibah atau pengumpatan.

Kedua: Menurutkan kemahuan rakan handai dan membantu mereka dalam memperkatakan perihal orang lain. Seringkali berlaku ketika berlucu dan bersenda gurau itu, diperbualkanlah tentang hal-ehwal dan urusan orang lain, maka ia akan menjadi serba salah, andaikata dia mengingkarkan kelakuan itu ataupun dia meninggalkan majlis mereka, tentulah rakan handainya akan merasa kurang senang terhadapnya dan mereka akan menyingkirkannya sama sekali.

Ketiga: Menunjuk-nunjuk kelebihan peribadinya dengan kemegahan dan keistimewaan, iaitu mengangkat dirinya sebagai lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya dari si fulan atau si fulan.

Keempat: Hasad dengki dan irihati, iaitu menyimpan perasaan tidak enak, bila mendengar orang lain dipuji-puji atau disanjung oleh orang ramai, ataupun kerana sesuatu sebab atau yang lain, maka orang itu dihormati dan dimuliakan, sehingga menyebabkan ia merasa bosan terhadapnya. Oleh itu maka timbullah perasaan dengki dan hasad di dalam hatinya, dicubalah berbagai-bagai cara untuk melenyapkan kenikmatan yang dimiliki oleh orang itu, maka tiadalah didapatinya melainkan dengan jalan mencela atau mengumpatnya, sehingga orang ramai berhenti dari memuji-muji orang itu atau menghormatinya, sebab jiwanya tidak tertanggung lagi untuk mendengar segala kepujian dan penghormatan orang ramai terhadap orang itu.

Kelima: Menghadirkan diri dalam majlis-majlis senda gurauan dan menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, di mana di dalam majlis-majlis serupa itu, biasanya di sebut berbagai-bagai keburukan dan keaiban orang lain yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Ini boleh berlaku dengan jalan menceritakan perihal orang dengan melahirkan rasa takjub terhadap perilaku orang itu.

Keenam: Menista dan mengejek-ejek orang dengan tujuan untuk meghinanya. Puncanya ialah sifat takabbur dan bongkak dalam diri sendiri, serta memandang orang lain semuanya rendah, hina, bodoh atau jahil.

Selain yang tersebut di atas tadi, ada banyak lagi sebab-sebab yang boleh menarik manusia kepada tercebur dalam bahaya ghibah, atau pengumpatan itu, dan pokok pangkalnya ialah desas-desus syaitan dan hasutannya..


Seterusnya ghibah juga boleh berlaku dalam keadaan marah. Misalnya ia merasa sangat marah, bila melihat seorang melakukan sesuatu kemungkaran di hadapannya, lalu dilahirkannya sikap marahnya itu, dan disebut-sebutkan pula nama pelakunya kepada semua orang. Padahal yang wajib dalam perkara semacam ini, ida merahsiakan nama orang itu dan tidak dijajakan namanya kepada orang lain. Dan sememangnya, tidak ada alasan baginya, mengapa dia mesti memberitahukan nama orang itu kepada orang lain..

Semoga kita semua dapat menjaga LIDAH yang boleh membawa kita ke neraka. terima kasih.

1 comment:

Unknown said...

knp mengumpat ni selalu dikaitkan dengan perempuan, sedangkan laki pon buleh tahan juga....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...