Saturday, August 13, 2011

Serbuan Jais ke Gereja: Wanita Melayu Mengaku Telah Dibaptis


KUALA LUMPUR: Beberapa individu beragama Islam yang menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya, ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan malam kelmarin, hanya sebahagian kecil yang berjaya dikesan, manakala sebahagian besar golongan itu dipercayai menyertainya secara sembunyi atau ‘bawah tanah’.


 
Kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu dan golongan mualaf yang menyertai kumpulan berkenaan disebabkan kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga serta gagal mendapat bantuan daripada pihak berwajib.


BUKTI...antara risalah dan kitab Kristian yang diberikan gereja kepada wanita berkenaan

Mereka menyertai kegiatan keagamaan berkenaan secara senyap-senyap di premis persendirian termasuk rumah kedai dan dewan komuniti, bukan saja di Lembah Klang, malah pergerakan ‘bawah tanah’ ini sudah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Ia didedahkan sendiri seorang wanita Melayu yang mengikuti kumpulan itu sejak lebih setahun lalu, selepas dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membiayai keperluan seharian.

Katanya, pendakwah kumpulan berkenaan membantu mereka dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan selepas itu, mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai
program keagamaan mereka.

 

“Pendakwah atau pastor tidak pernah memaksa saya memasuki agama mereka, tetapi menggunakan cara paling lembut dan halus dengan tidak berputus asa memujuk selain terus membantu sehingga akhirnya saya terhutang budi dan akur mengukti program keagamaan mereka yang kebiasaannya diadakan dua kali seminggu.

“Kami diberikan kitab Bible versi bahasa Melayu dan turut dibekalkan pita rakaman kecil mengandungi nyanyian keagamaan supaya dapat menghafal sebelum didedahkan dengan ceramah yang kandungannya lebih menolak Islam dan Nabi Muhamad SAW”, katanya ketika ditemu bual wartawan Harian Metro.

Wanita itu turut memberikan beberapa kitab Bible dan risalah yang dimilikinya kepada wartawan sebagai rujukan dan mengaku dia sudah menghafalnya serta kini di peringkat pembelajaran yang agak tinggi selain sudah menjalani upacara pembaptisan.

Menurutnya lebih memeranjatkan pastor berketurunan Melayu yang sudah lama menyertai agama kumpulan itu turut memberi ceramah.

“Amat sukar kami yang Islam keluar dari kumpulan ini kerana mendapat bantuan lebih daripada mencukupi dan berterusan.

 

“Siapa yang tidak mahukan wang…kalau pihak berwajib seperti jabatan agama dan kebajikan masyarakat tidak terlalu banyak birokrasi mungkin ia boleh dibendung”, katanya.

Menurutnya, jika ingin membendung perkara ini daripada terus berlaku, pihak berwajib sepatutnya lebih sedar dan menjalankan tanggungjawab dengan menjaga kebajikan golongan miskin dan memerlukan bantuan.

“Semua pihak perlu prihatin terhadap fakir miskin, ibu tunggal dan mualaf supaya mereka tidak beralih memohon bantuan kepada pihak agama lain”, katanya.

Media melaporkan beberapa penguatkuasaan Jais dan polis menyerbu sebuah gereja di Petaling Jaya, Rabu lalu, selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.
Pemeriksaan mendapati 12 orang beragama Islam menghadari majlis itu, namun tiada tangkapan dibuat dan mereka diarahkan hadir di Bahagian Penguatkuasaan Jais untuk siasatan lanjut.

Merujuk Perlembagaan Persekutuan Artikel 11 (4) Undang-Undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Undang-Undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.Metro

Sogok Wang Gadai Akidah




ALKITAB versi bahasa Melayu diberikan kepada setiap orang Islam yang menyertai pertubuhan agama Kristian
KUALA LUMPUR: Ada pertubuhan di negara ini berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makan minum percuma kepada golongan miskin dan menghadapi masalah kewangan yang beragama Islam sebelum memesongkan akidah mereka hingga sanggup menukar agama akibat desakan hidup.

Difahamkan, ada individu Islam menerima elaun tetap sehingga RM1,000 sebulan dengan hanya mengikuti program pertubuhan itu dua kali seminggu. Malah segelintir peserta turut mengakui menerima bantuan menyelesaikan beban hutang, termasuk ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.

Ia dipercayai taktik pertubuhan terbabit bagi menarik orang ramai mengikut program mereka dengan sebahagian besar sasaran adalah golongan gelandangan dan ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap serta dibebani masalah kewangan.

Setiap peserta turut dijanjikan `kehidupan baru’ oleh pemimpin pertubuhan terbabit yang menggambarkan dirinya seolah-olah `penyelamat’ jika mengikuti segala program diatur, termasuk kesediaan menukar agama.

Bekas pengikut pertubuhan itu yang mahu dikenali sebagai Adazhan, 30-an, mengakui pernah dilatih menjadi paderi sepanjang 10 tahun menjadi pengikut program berkenaan, termasuk menukar agama isteri dan anak-anaknya sebelum kembali ke pangkal jalan.

Ketika ‘diselamatkan’ daripada kesempitan hidup, Adazhan mengakui menerima tawaran bantuan pertubuhan itu adalah pilihan hidup untuk menyelamatkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Malah, kesungguhannya mengikut program membolehkannya menghadiri kursus menjadi paderi dan dijanjikan Rumah Doa sendiri dengan pembiayaan penuh pertubuhan untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

“Dulu saya terima bantuan kewangan RM500 sebulan. Bagi yang ada isteri, mereka diberi tambahan RM300 dan RM100 bagi seorang anak. Bagi saya yang hidup merempat ketika itu, cuma itu pilihan terbaik. Sekarang, jumlah bantuan bertambah dan difahamkan, ada yang dapat lebih RM1,000 sebulan.

“Saya percaya ramai sudah terpedaya selepas termakan pujukan dan terhutang budi dengan bantuan diterima. Cuma, mereka takut menukar status agama dalam MyKad,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mencadangkan supaya mereka yang terpedaya, tidak dikenakan hukuman atau ditangkap kerana bimbang menyebabkan keadaan lebih teruk, sebaliknya didekati secara lembut dengan membetulkan semula akidah dan diberi bantuan sepatutnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Gereja Methodist mazhab Protestan di Damansara Utama Selangor
Kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu majlis makan malam anjuran sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya, susulan laporan terdapat unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, 50 orang Islam menghadiri majlis itu ketika serbuan dibuat, namun hanya 12 daripada mereka termasuk lapan wanita berjaya ditahan dan diarahkan memberi keterangan di Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam, 9 Ogos ini kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Sementara itu, salah seorang peserta wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan mendedahkan peserta Islam ditegah mempercayai Nabi Muhammad SAW, tetapi diminta mengikut suruhan Nabi Isa melalui ceramah dan nyanyian sepanjang majlis berlangsung.


JASMINE mengaku menerima bantuan daripada sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya

Hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, wanita itu berkata, pertubuhan terbabit mensasarkan individu yang menghadapi masalah kewangan seperti kumpulan mualaf dan golongan yang kecewa dengan kerajaan sebagai ahli sebelum ejen berperwatakan alim seperti haji dan imam dihantar mendekati mangsa.

“Mereka menabur janji mampu menyelesaikan masalah dihadapi sebelum sasaran dibawa menghadiri majlis suai kenal dan sesi ceramah secara sulit. Biasanya, minat menyertai pertubuhan ini timbul selepas mendengar syarahan ketua agama dari Sabah, Sarawak dan Indonesia,” katanya yang menyertai pertubuhan itu bersama suami dua tahun lalu.

Jasmine yang dijanjikan bantuan kewangan untuk menyelesaikan hutang dan keperluan harian, berkata dalam setiap program dianjurkan, peserta diberikan kitab Injil berbahasa Melayu seterusnya diajar menyanyi lagu dakwah Kristian, disusuli diberikan ‘minuman istimewa’ diikuti upacara 
pembaptisan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...