Tuesday, June 15, 2010

Brazil awasi ancaman Korea Utara


JOHANNESBURG - Brazil yang dibarisi bintang-bintang dunia bakal membuka kempen Piala Dunia 2010 menentang pasukan yang tidak diketahui kekuatannya, Korea Utara.

Tatkala Brazil sudah lima kali menjulang trofi Piala Dunia, Korea Utara pula sudah lebih 40 tahun tidak beraksi di pentas tertinggi itu.

Situasi tersebut membuatkan Brazil tetap berasa bimbang terhadap pasukan dari Asia itu yang pernah mencipta kejutan terbesar menewaskan Itali pada Piala Dunia 1966.

Penyerang Brazil, Ramires berkata: "Saya tidak tahu apa-apa tentang pasukan Korea Utara ini. Saya hanya menonton aksi mereka pada perlawanan pemanas badan sebelum ini. Kami hanya menanti arahan jurulatih."

Namun, maklumat tersebut bukanlah semudah yang disangka memandangkan Korea Utara mengambil sikap menjauhkan diri daripada media sejak mereka menetap di sebuah hotel terpencil di pinggir utara Johannesburg.

"Kami perlu menghormati Korea Utara. Apabila melihat kepada sejarah, Brazil memang memiliki kelebihan berbanding mereka pada Piala Dunia. Tetapi apabila saingan bermula, kami perlu menghormati semua pasukan," kata pemain tengah Brazil, Elano.

Pada Piala Dunia 1966, Korea Utara menewaskan Itali 1-0 untuk muncul pasukan Asia pertama layak ke suku akhir sebelum mereka tewas 3-5 kepada Portugal.

Namun pada saingan kali ini, Korea Utara dilihat sukar untuk mengulangi kejayaan tersebut setelah diundi dalam kumpulan sukar.

Pemain Korea Utara, Ahn Young Hak berkata: "Kami sedar semua pemain Brazil cukup terkenal dan Brazil adalah pasukan terkuat di dunia. Tak nampak mereka memiliki sebarang kelemahan."

Brazil yang tersingkir pada suku akhir Piala Dunia 2006 setelah tewas 0-1 kepada Perancis hanya mengadakan dua aksi pemanas badan dengan menewaskan Zimbabwe 3-0 dan Tanzania 5-1.

Korea Utara pula tewas 1-3 kepada Nigeria tetapi berjaya mengikat Greece 2-2.

Tiada rekod pertemuan membabitkan Brazil dan Korea Utara sebelum ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...