Tuesday, November 29, 2011

Rahsia Wanita Idaman.



Pada zaman dahulu, ibubapa akan berperanan mencarikan jodoh untuk anak lelakinya. Kini kaedah itu telah dianggap ketinggalan zaman. Pada zaman serba canggih ini, lelaki biasanya mendahului untuk mengenali wanita lantas menyelami isi hatinya hinggakan kadangkala ibubapa pun tidak mengetahui bahawa anak mereka sudah ada kekasih hati. Tapi apakah yang dicari oleh lelaki pada seorang wanita?

Bila ditanya kepada lelaki mengapa dia mahu berkahwin, jawapan yang kita akan perolehi lebihkurang serupa iaitu untuk membina rumahtangga yang bahagia, hidup rukun damai, bersama membina dan memperkasakan ekonomi keluarga dan berketurunan baik serta membimbing anak-anak menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Selalunya itulah yang kita dengar dan baca, dan jaranglah mahu dicatat atau disebut bahawa tujuan asasnya ialah kerana lelaki dan wanita itu mahu membendung nafsu syahwat dan menyalurkannya ke saluran yang halal lagi diredhai.


Walaupun lelaki agak keberatan untuk mengakui bahawa dia meminati seorang wanita (untuk dijadikan isteri) kerana tujuan seksual (daya tarikan seks) harus disedari bahawa nafsu syahwat adalah sebagai salah satu pendorong asas. Ini bukan bermakna lelaki meminati wanita kerana seks semata-mata. Ia keperluan asas semua manusia dan kehendak itu adalah normal dengan syarat ia mengikut peraturan-peraturan yang digariskan oleh agama dan tatasusila.

Hakikatnya serupa walau setinggi mana pun ilmu atau pangkat seorang lelaki, secara asasnya nafsu syahwatnya akan tertarik kepada sesuatu yang membangkitkan berahinya, dan (bagi lelaki yang normal seleranya, dia tahu bahawa) sesuatu itu ada pada wanita. Mata lelaki yang menjadi penyebab hatinya tertawan pada seorang wanita. Kerana itulah wanita disuruh menutup auratnya agar kuranglah sedikit dikacau-ganggu oleh lelaki yang kurang berpedoman atau kurang siuman, hanya banyak siulan.
Berikut saya catatkan apakah ciri-ciri wanita idaman lelaki untuk menambah pengetahuan dan renungan kita bersama:

WANITA IDAMAN MELAYU TRADISI

Mencatat mengenai kebiasaan dalam masyarakat Melayu tradisi, iaitu apa yang selalu diperkatakan di kalangan rakan sebaya (peers) dan dalam perbualan-perbualan ringan. Dari segi ini di kalangan masyarakat tradisi Melayu, penggunaan perumpamaan atau bidalan amatlah popular dalam melambangkan wanita idaman:

‘Wajahnya bersinar bak bulan purnama, suaranya merdu bak buluh perindu, kulitnya halus bak sutera, putih kulitnya bak kapas dipusar, matanya galak, pipi licin bak pauh dilayang, rambutnya ikal mayang’. (suara buluh perindu itu mungkin relatif, dulu mungkin seperti suara Momok Latiff, kemudian Saloma, kemudian seperti suara Lata Mangeshkar, kini mungkin seperti suara Siti Norhaliza).

Wanita yang jadi idaman lelaki Melayu zaman dahulu menunjukkan bahawa bangsa Melayu mempunyai fokus terhadap kecantikan wanita apabila melihat pada wanita (kini pun masih relevan bila kita lihat kenyataan-kenyataan seperti: ‘Mak ai, cunnya..’ atau ‘memang tak boleh tahan’ atau ‘memang menonjol’ dan sebagainya. Berbalik pada wanita idaman lelaki zaman dahulu, kita perhatikan seterusnya perumpamaan yang ada:

‘Hidung mancung bak seludang, pinggang ramping bak kerengga, bibirnya bak delima merkah, mulutnya bak seulas limau, giginya putih bak mutiara, tersusun giginya bak sebaris pinang, senyumnya bagai bidadari, betisnya bunting padi, pehanya gebu, lenggangnya bak itik pulang petang’.
Melayu tradisi agak berseni dalam menerangkan ciri-ciri wanita ‘ideal’ ini. Selalunya apa yang zahir itulah yang dipandang terlebih dahulu. Bila dia sudah berminat (kerana cantik, atau manis, atau menawan, atau ‘cute’ atau ‘cun’) barulah dia menyusun strategi untuk menyelami hati budi gadis yang diminati itu dengan lebih dekat.

Atas sebab-sebab inilah (lelaki tertarik kepada kecantikan dan mungkin lupa atau terlepas pandang untuk menyelami hati budi) pada zaman dahulu ibubapa berperanan untuk mencari gadis yang bakal dijodohkan dengan anaknya. Biasanya gadis ini adalah dari kalangan saudara-mara ataupun jiran yang telah lama dikenali dan perkembangan anak gadis itu telah diperhatikan sekian lama. Paling penting, anak gadis itu perlulah hormat pada orang tua, pandai memasak, halus tutur kata, baik budi, ‘jenis yang sembahyang’, ‘manis’ dan ‘pemalu’. Pemalu bukan bermakna tidak tahu bergaul dengan oranglain tetapi bererti pandai menjaga kehormatan diri dan sopan terutama bila berhadapan dengan lelaki yang tidak dikenali.

WANITA IDAMAN CINA TRADISI

Pada zaman dahulu, orang Cina mementingkan perawan untuk dijadikan isteri. Dalam kitab Su Nu Ching (Manual Wanita Suci) yang didakwa ditulis oleh Maharaja Huang Ti (2968 SM) ada mencatat petua memilih perawan:

‘Dia tidak pernah memandang tepat ke muka lelaki. Bila dia senyum, giginya tidak ditunjukkannya. Mukanya tidak nampak berminyak, suaranya nyaring seperti seruling yang baru. Bila duduk dia tidak merenggangkan lututnya’.

Orang Cina zaman dahulu terkenal dengan ilmu membaca bentuk muka manusia, dari bentuk ini diketahui pula bentuk anggotanya, atau kesukaannya, atau kelakuannya. Menurut Yu Fang Mi Chueh (Petanda Rahsia Kamar Jed) iaitu sebuah manual seks ditulis sebelum Dinasti Tang, seseorang lelaki boleh mengetahui ‘rahsia alat kelamin’ wanita melalui bentuk wajahnya.

Dari pengetahuan ini, orang-orang Cina zaman dahulu lebih suka memilih wanita yang kecil mulutnya dan jari-jarinya adalah sederhana pendek. Pipinya pula punya lesung pipit. Mereka juga akan mencari wanita yang rabun dekat. Ciri-ciri ini bila digabungkan kononnya akan memudahkan si suami mengendalikan isterinya dan memberi kepuasan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...