Monday, March 14, 2011

KEDUTAAN MALAYSIA DI JEPUN HANYA ALAMI KEROSAKAN KECIL


TOKYO 

 Pejabat kedutaan Malaysia di Nanpeidai-Cho di daerah Shibuya hanya mengalami kerosakan kecil apabila beberapa panel siling aluminium di bahagian pintu gerbangnya jatuh semasa gempa bumi 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun.


Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som berkata, gempa bumi pada kira-kira pukul 2.46 petang itu hanya mengakibatkan kerosakan kecil, dan beberapa barang cenderahati serta buku-buku yang dipamer di pejabat kedutaan jatuh berselerak.

“Walaupun saya pernah melalui pengalaman menghadapi beberapa gempa bumi sejak saya ditukarkan ke sini setahun empat bulan lalu, tapi kejadian hari ini memberi kesan yang amat mendalam kepada saya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Shaharuddin telah mempengerusikan mesyuarat kecemasan bagi merangka kemungkinan melancar gerakan menyelamat rakyat Malaysia di Jepun yang mungkin terperangkap akibat gempa bumi itu.
Beliau berkata, terdapat 16 pelajar di wilayah Iwate dan 40 lagi di wilayah Miyagi, dua kawasan yang berdekatan dengan Sendai, yang merupakan kawasan pinggir pantai berhampiran dengan tempat kejadian gempa.

Shaharuddin juga berkata, 50 rakyat Malaysia serta petugas kedutaan selamat, begitu juga kira-kira 20 anggota keluarga mereka dari Malaysia yang berada di sini. – Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...