Abang..hari tu ingat period dah habis. Ayang dah mandi, dah solat. Tapi hari ni keluar balik..kira period balik ke bang? "
" Maybe kot. Try search kat google.."
" Dah tapi macam tak paham sangatla bang. Erm, Kak Erma cakap dekat masjid belah pagi ada kuliah muslimat, ada ustazah ajar masalah-masalah macam ni.."
" Buat apa..cari je kat youtube. Banyak kuliah-kuliah dalam tu. Lagipun abang sibuk, mana sempat nak hantar nak ambik kat masjid.."
Dan si isteri terus terdiam. 3 tahun perkahwinan, isu yang sama berulang, si suami pula terus menerus memberi alasan.
Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.
Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.
Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.
Apa peranan imam dalam solat?
Kita makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.
Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau terlupa dalam bacaan surah?
Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.
Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar diaplikasikan dalam hidup.
Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya.
Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya.
Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.
PERKAHWINAN
Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua.
Ia perjanjian sampai mati.
Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.
Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua.
Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu.
Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai 'bab orang perempuan' yang tidak perlu diketahui oleh lelaki.
Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.
" Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! "
Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab.
Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami?
Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?
Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?
MENCARI SEORANG IMAM
Tak kacak tak mengapa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan.
Tak kaya tak mengapa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan.
Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.
Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh.
Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah.
Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik?
Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam.
Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam.
Ada juga yang merasakan lelaki 'berpengajian agama' itu paling baik sebagai imam.
Saya geleng kepala.
Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.
Pun begitu, saya suka mencadangkan.
Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh 'suai-kenal' atau istilah rasminya , bertunang.
Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan 'sepenuh ketaatan' kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang.
Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.
MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG
Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.
Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.
Antara cara yang mungkin anda boleh gunakan adalah melalui perbincangan.
Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada 'kewajipan' sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan 'tidak' kepada dia jika tidak kena caranya.
Cara berbincang ini , jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak.
Malangnya, cara perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan.
Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.
ASALKAN DIA BAIK ?
Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.
Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik.
Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik atau tidak.
Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang tutup aurat semua baiklah?
Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang yang baik mestilah akan menutup aurat.
Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama.
Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.
Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.
Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.
Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana?
Buatlah pilihan dengan bijak.
Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan semata-mata seorang jejaka.
No comments:
Post a Comment