Thursday, February 24, 2011

Rawatan Wajah


MENJAGA dan memanjakan wajah memang rutin wanita. Setiap wanita inginkan kulit yang cantik dan memiliki kulit wajah yang segar serta kelihatan muda sepanjang masa.

Bagi mendapatkan kulit wajah yang sempurna, ramai wanita tidak ragu-ragu mendapatkan rawatan kecantikan di salun pada setiap minggu.

Ramai dikalangan wanita mengetahui khasiat tumbuhan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak seharian dalam membantu mendapatkan wajah yang lebih berseri-seri. Sebenarnya apa yang ada di dapur dan di dalam peti sejuk anda itu boleh dijadikan bahan untuk mencantikkan wajah dan mengekalkan kulit yang sihat.



Bahan-bahan ini membantu wanita untuk sentiasa tampil cantik dan menarik. Selain itu, ia mudah didapati dan murah tanpa perlu berbelanja besar.

Bagi mendapatkan kulit muka yang halus, ambil sebiji tomato masak dan kisar halus. Kemudian lumurkan pada muka kira-kira 20 minit. Setelah itu, bersihkan muka dengan air suam. Amalkan selalu. Buah tomato ini juga berfungsi untuk membersihkan kulit.

Asam jawa juga banyak kegunaannya selain menyedapkan masakan anda. Bancuh sedikit asam jawa bersama sedikit air dan tepung ubi, kemudian kacau hingga sebati. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu, pupurkan pada muka dan biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air bersih.


Untuk menegangkan kulit muka ambilkan sedikit tepung ubi kayu dan timun tetapi sebelum itu timun hendaklah dihancurkan sehingga lumat. Kemudian campurkan kedua-dua bahan tadi dengan sedikit air. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu, sapukan ke muka dan biarkan ia kering. Kemudian basuh dengan air bersih.

Bagi mereka yang gemar menggunakan khasiat manjakani, rebus segenggam manjakani di dalam periuk tanah sehinggalah ia menggelegak dan pekat. Apabila air rebusan sudah suam, sapukan pada wajah dan tunggu sehingga kering. Setelah itu, cucilah wajah dengan air bersih.

Sebagai petua menghilangkan jerawat pula campurkan sedikit asam jawa dengan bedak sejuk. Atau tumbuk sedikit kulit kayu manis dan campurkan bersama dengan bedak sejuk. Lumurkan pada bahagian muka yang mengalami jerawat. Setelah beberapa ketika, bersihkan muka dengan air bersih. Amalkan selalu.

Mengelakkan kulit muka cepat berkedut bersihkan sebatang lobak merah dan kemudian parutkan lobak itu. Selepas itu, campurkan parutan lobak bersama sesudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Kacau hingga sebati dan oleskan pada wajah sekali sehari.

Daun senduduk boleh digunakan untuk menghilangkan parut. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun senduduk, kemudian upar-uparkan hingga keluar air dan gosok daun pada parut. Ia juga boleh menghilangkan jerawat pada muka dengan mencampurkan airnya dengan bedak sejuk.

Tomato dan epal juga boleh digunakan untuk melicinkan kulit. Caranya, parut tomato atau epal yang cukup masak, kemudian gosokkan perlahan-lahan pada wajah dan leher. Gelatin pada tomato boleh menghilangkan parut. Biarkan selama 20 minit dan selepas itu cuci dengan air suam.

Akhirnya susu segar selain bagus diminum juga bagus untuk mendapatkan kulit muka yang gebu dan licin. Tidak percaya silalah cuba sendiri. Ambil segelas susu segar, sapu pada muka dan gosok-gosok hingga rata, melekit, dan kering. Cuci dengan air suam dan lakukan dua kali seminggu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...