Monday, February 21, 2011

Kemahiran keibubapaan - Parenting Skills


Apakah jenis jenis gaya keibubapaan?
Ibu bapa lazim menggunakan beberapa gaya seperti yang dinyatakan di bawah:

Gaya Keibubapaan
Ciri-ciri
Berwibawa (Authoritative)
  • Ibubapa tegas dan boleh mengawal keadaan
  • Sedia mendengar pandangan anak
  • Boleh bertolak ansur jika perlu
  • Anak-anak membesar dalam suasana penuh kemesraan
  • Kanak-kanak dijangka untuk berkelakuan intelektual seiring umur dan sosial mereka.
Mengabaikan atau cuai (Neglecting)
  • Ibubapa tidak ambil peduli di mana anak mereka berada, apa aktiviti yang dilakukan, siapa kawan-kawannya, tidak tahu hal ehwal pelajarannya serta suasana persekitaran sosial anak mereka.
  • Ibubapa terlalu buntu atau sibuk dengan kehidupan dan tugas mereka.
Memanjakan (Indulgent)
  • Ibubapa hanya menurut keperluan dan tuntutan anak.
  • Kurang menetapkan batasan terhadap anak.
Kuku besi (Authoritarian)
  • Ibu bapa yang terlalu mengawal ketat dan tidak boleh bertolak ansur dengan anak-anak
  • Menetapkan harapan tinggi dan tidak munasabah terhadap anak-anak
  • Gagal menjalinkan kemesraan dan komunikasi dua hala.

Apakah gaya keibubapaan yang lebih sesuai ?
  1. Gaya keibubapaan berwibawa kerap dirujuk sebagai Keibubapaan yang positif. Ia adalah gaya keibubapaan yang paling berkesan. Ibubapa yang berwibawa adalah ibubapa yang:
    • Peka dengan perlakuan anak dan memberi galakan, rangsangan serta bimbingan melalui pendekatan disiplin yang asertif dan tidak kasar.
    • Berinteraksi secara positif, disamping menyemai emosi yang bersesuaian serta bertanggungjawab.
    • Dapat membantu anak-anak mengawal diri dengan menetapkan batasan dan peraturan rumah.
  2. Gaya keibubapaan yang lain adalah kurang berkesan.

Apakah kebaikan dari gaya keibubapaan yang positif?
  1. Mengeratkan hubungan antara ibubapa dan anak
  2. Meningkatkan rasa harga diri anak
  3. Mengalakkan disiplin diri anak
  4. Mengajar anak berfikir untuk diri sendiri
  5. Menyediakan peluang untuk ibubapa membimbing anak
  6. Membantu anak mempunyai kawalan diri.

Apakah keburukan gaya keibubapaan yang negatif?
  1. Merendahkan rasa harga diri anak
  2. Anak gagal mempunyai sikap asertif
  3. Anak menjadi tidak bertanggungjawab dan kurang matang
  4. Perhubungan antara ibubapa dan anak menjadi kurang mesra
  5. Anak yang kerap memprotes secara melampau

Cadangan ke arah menjadi ibu bapa yang positif.

Cadangan
Maklumat
Contoh bagaimana melakukannya
1
Luangkan masa berkualiti bersama anak
Memperbaiki perhubungan sihat antara ibu bapa dan anak.
Menyediakan peluang kepada ibu bapa untuk mengenali, memahami dan membimbing anak
  1. Minta izin anak untuk turut serta (contoh: "Boleh ibu / ayah bermain dengan awak?")
  2. Tunjukkan yang anda berminat dengan aktiviti anak anda (contoh: "Tengah buat apa tu? ; Boleh tunjuk abah macamana nak main ni?)
  3. Raikan kejayaan apabila anak telah mencapai sesuatu (contoh: "Wow, awak dapat jawapan yang tepat. Hebatnya!")
2
Kerap menggunakan ungkapan pujian

Penggunaan pujian amat penting. Pujian membuat kanak-kanak memahami apakah tingkalaku yang baik, merasai ibu-bapa menyayanginya dan dapat meningkatkan rasa harga dirinya.
Kata-kata negatif tidak membantu malahan boleh merosakkan rasa harga diri anak.
Anak tidak dapat belajar cara memperbaiki dirinya bila disindir atau dimaki. Malah perasaan takut dan marah akan bersarang dalam dirinya. Contoh: takut melakukan kesilapan, takut ibu-bapa akan memarahi atau memukulnya jika ia tidak melakukan sesuatu dengan baik. Akhirnya anak akan terus takut untuk mencuba.
  1. Panggil anak dengan namanya atau panggilan yang mesra.
  2. Pastikan anda menjelaskan kepadanya apa kebaikan yang telah dilakukannya.
  3. Nyatakan perasaan anda ("ibu gembira dengan apa yang awak lakukan; "syabas! Ayah amat bangga")
  4. Beri perhatian tambahan terhadap perlakuan positifnya melalui sentuhan, dakapan, ciuman atau tepukan.
  5. Luahkan pujian serta merta dan secara konsisten setiap kali mereka berkelakuan baik.
3
Tetapkan peraturan dan undang-undang di rumah
Setiap keluarga mesti mempunyai peraturan di rumah yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh ahli keluarga.
Anak perlu tahu apa yang seharusnya mereka patuh. Adalah penting setiap ibubapa menyatakan dengan jelas kepada anak akan peraturan-peraturan tersebut. Kerap berlaku di mana ibubapa memarahi anak apabila berlaku sesuatu masalah tanpa memperjelaskan perlakuan yang diingini mereka.
Apabila anak berkelakuan yang tidak wajar:
  1. Terangkan apakah tingkahlaku yang tidak baik (Contoh: memukul kawan yang mengambil alat permainannya)
  2. Jelaskan mengapa tingkahlaku itu tidak wajar
  3. Tunjukkan padanya perlakuan pilihan yang lebih sesuai.
  4. Terangkan kepadanya apakah kesan positf dari tingkahlaku yang sesuai.
Contohnya: "Menjerit, meraung dan memekik adalah tidak sopan dan bising. Jika kamu perlahankan suara kamu dan beritahu saya apa yang kamu mahu dengan sopan barulah saya akan dengar permintaan kamu itu."
Bawa bertenang. Bercakaplah dengan gaya yang tenang dan sopan. Anak anda akan meniru perbuatan anda.
Jangan marah anak anda semasa anda merasa amat marah kerana pada masa itu anda tidak dapat berfikir dengan baik. Akibatnya anda gagal menjadi contoh yang baik untuk anak anda belajar mengawal perasaan marahnya nanti.
4
Jangan peduli / jangan ambil endah
Ada ketikanya ibubapa akan menegur tingkahlaku anak tetapi anak tetap berbuat sebaliknya dari apa yang dikehendaki ibubapa.
Pada ketika ini amat penting untuk ibubapa memahami bahawa anak mahukan perhatian dengan perbuatan tersebut. Oleh itu ibubapa tidak patut mengendahkan perbuatan anak itu. Langkah ini dipanggil "ignoring" atau "tak ambil endah"
Langkah yang patut dilakukan adalah:
  1. Jangan pandang ke arahnya
  2. Jangan bercakap dengannya
  3. Asingkan diri darinya seperti keluar dari bilik
Ibubapa perlu faham bahawa anak kadangkala mahu menguji kesabaran ibubapa. Oleh itu jangan endahkan ia pada masa itu sehingga ia berkelakuan seperti yang diingini.
Apabila ini berlaku, beri perhatian kepadanya dan bertanya apa yang dikehendakinya. Amat penting untuk anak faham bahawa hanya kelakuan yan baik sahaja yang akan mendapat perhatian ibubapa.
5
Anak membuat keputusan
Amat penting membimbing anak berfikir untuk diri sendiri dan ibubapa perlu menolong anak melalui proses atau langkah-langkah membuat keputusan. Elakkan terus membuat keputusan untuk anak.
  1. Pastikan apakah masalahnya.
  2. Bantu anak berfikir cara-cara menyelesaikan masalah
  3. Tentukan langkah yang boleh diambil. "Lakonkan" cara penyelesaian itu
  4. Tanya anak jika itu cara yang boleh dilakukan
  5. Cuba penyelesaian itu.
  6. Bincang bersama jika cara itu berkesan. Jika cara itu tidak berkesan, ulang balik proses membuat keputusan
6
Kemahiran tambahan
Keibubapaan adalah satu cara hidup. Pelbagai situasi boleh timbul dari masa kesemasa yang menuntut kemahiran tambahan
  1. Beri anak anda pilihan untuk menggalakkan ia membuat keputusan seperti "Awak hendak makan atau...."
  2. Beri peringatan awal kepada anak sebelum waktunya seperti "30 minit lagi masuk waktu tidur"
  3. Jika anda mahu anak anda menurut kehendak anda, beri arahan yang anda hendak ia lakukan dengan kata kerja seperti "Tolong simpan mainan kamu", "Jalan perlahan-lahan", "Cakap baik-baik"
  4. Gunakan langkah 'Apabila..... kemudian" untuk menjelaskan kepada anak anda kesan tingkahlakunya seperti "Apabila kamu siap membasuh pinggan, kamu boleh bermain dengan kawan-kawan"
  5. Biarlah tuntutan atau harapan anda bersesuaian dengan apa yang anak anda boleh lakukan.
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...