JAKARTA: Satu gempa bumi besar melanda selatan Indonesia semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh kerana dihempap batu atau bangunan runtuh selain mencetuskan huru-hara apabila beribu-ribu pekerja cuba keluar dari pejabat untuk menyelamatkan diri. |
Hospital segera dipenuhi mangsa yang cedera selepas gegaran 7.0 pada skala Richter melanda kawasan pantai pulau Jawa yang juga menjadi tempat tinggal kebanyakan daripada 235 juta penduduk Indonesia.
Pegawai menjangka angka kematian dan kecederaan akan meningkat. Pegawai Kementerian Hal Ehwal Sosial, Mardi berkata, lebih 700 rumah dan bangunan rosak teruk.
Ramai orang yang panik, wanita menjerit-jerit dan kanak-kanak menangis," kata Heni Maryani, penduduk bandar Sukabumi.
Pegawai bencana berkata, kediaman dan bangunan runtuh di tiga kawasan padat penduduk di Jawa Barat.
Seramai 30 orang terperangkap di bawah runtuhan batu di satu perkampungan, lapor agensi berita Antara.
Satu amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa itu melanda pada 2.55 petang waktu tempatan (3.55 petang di Malaysia) sebelum ditarik balik sejam kemudian.
Muharaham Ardan, seorang pensyarah universiti di bandar Tasikmalaya, kira-kira 115 kilometer dari pusat gempa, berkata gempa kali ini adalah yang paling kuat dialaminya.
"Kami semua lari dalam keadaan panik. Kami hanya berkaki ayam saja. Jiran lain menjerit 'keluar dari rumah'," katanya.
Laporan awal memetik jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono sebagai melaporkan 15 kematian di daerah Cianjur, Tasikmalaya dan Sukabumi.
Agensi berita Antara melaporkan, 12 keluarga atau 30 orang terperangkap di bawah runtuhan rumah akibat tanah runtuh selepas gegaran melanda di perkampungan Rawa Hideung.
Enam mayat sudah dikeluarkan tetapi nasib ramai lagi belum diketahui, kata seorang penduduk, Agus Sobandi.
"Ramai mangsa adalah suri rumah dan kanak-kanak yang bermain Play Station di rumah berkenaan," kata Entang Kurniawan, seorang penduduk memberitahu televisyen TVOne.
Seorang lagi penduduk, Fifi, berkata dia melihat 20 rumah runtuh di perkampungan Pameungpek.
Gegaran gempa itu dirasai hampir separuh pulau Jawa. Di ibu negara, Jakarta, 190 kilometer dari pusat gempa, pekerja pejabat yang panik keluar dari pejabat.
Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, sekurang-kurangnya 27 orang dimasukkan ke hospital di Jakarta untuk rawatan dan bilangannya dijangka meningkat.
2 comments:
Kesiannya kan... Syukur alhamdulillah sbb kita ni takde lagi jadi macam kat Indon. Bala macam2 yang datang. Tapi ada lagi yang jenis tak bersyukur kat Malaysia ni. Asyik nak buat kemungkaran je....
Syukur Alhamdulillah...
Post a Comment