Wednesday, September 30, 2009

Manohara akan fail permohonan baru

Peguam yang mewakili model Manohara Odelia Pinot berkata pihaknya serius untuk menghadapi tuntutan saman daripada Tengku Temenggong Kelantan Tengku Fakhry Ismail Petra dengan mengemukakan satu permohonan baru.

Mohamad Faiz Adnan berkata pihaknya akan mengemukakan satu permohonan itu di mahkamah sama terhadap Tengku Fakhry yang dijangka akan menyebabkan kes melibatkan tuntutan hutang serta tuntutan taat setia itu, tertangguh.

"Kita jangka demikian kerana permohonan ini akan memberi kesan kepada kes-kes lain sebelum ini," kata Mohamad Faiz yang enggan memberi butiran lanjut berkenaan permohonan berkenaan.

Mohamad Faiz, daripada firma Faiz Adnan & Associates berkata, pihaknya juga masih berpeluang memfailkan pembelaan apabila tuntutan-tuntutan itu didengar pada 5 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Beliau juga menolak pandangan peguam Tengku Fakhry semalam bahawa pihaknya tidak serius dalam menjalankan kes itu. Katanya lagi, beliau telah mendapat pendirian Manohara yang tidak bersetuju dengan tuntutan-tuntutan berkenaan.

Setakat ini, Manohara belum memfailkan apa-apa pembelaan terhadap saman Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry Ismail Petra yang menuntutnya kembali taat setia kepada suaminya dan tuntutan bayaran hutang berjumlah RM1,112,250 dari model Indonesia itu.

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu telah memberi masa 14 hari kepada Manohara untuk menjawab saman tersebut, dan tempoh itu telah berakhir pada 21 September lalu.

Belum fail pembelaan

Mohamad Faiz menjelaskan beliau masih menunggu arahan daripada anak guamnya itu untuk melakukan pembelaan berhubung pemfailan tuntutan hutang dan juga tuntukan taat setia ke atas model Indonesia itu.

"Benar, kami belum memfailkan pembelaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Tapi kita serius dalam kes ini. Kita memang dilantik dan ada hitam putih daripada Manohara," tambahnya.

"Cuma kita perlukan masa untuk pastikan kes ini berjalan dengan efisyen sebab ia melibatkan dua negara berbeza. Kes ini pun masih di peringkat pra-perbicaraan lagi," katanya lagi.

"Kami belum memfailkan pembelaan kerana masih tunggu arahan daripada anak guam. Kami telah cadangkan beberapa strategi untuk kes ini, tetapi kena tunggu arahan dari beliau," kata Mohamad Faiz.

Katanya lagi, tindakan pihaknya tidak memfailkan pembelaan itu adalah soal teknikal yang boleh ditentukan oleh mahkamah.

"Pada tarikh lepas, kami beritahu (mahkamah) kami baru saja dilantik, jadi kami perlukan masa. Kes ini masih dalam perbincangan dengan anak guam. Untuk jawab ikut kaedah itu perlukan masa," katanya.

Jelasnya, beliau juga telah mencadangkan beberapa strategi untuk menghadapi kes berkenaan kepada Manohara dan kini sedang tunggu arahan selanjutnya daripada beliau.

"Kami sedang tunggu arahan daripada (Manohara). Kalau kita dah failkan baru kita akan beritahu," katanya yang enggan mengulas lanjut.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...