Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadr. Dan tahukan kamu apakah Lailatul Qadr itu? Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua ur usan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.”
[Al-Qadar 97: 1-5]
Umum mengetahui topik perbicaraan dalam surah al-Quran di atas adalah tentang satu malam yang sangat bersejarah dan penting kepada umat Islam. Satu peristiwa agung yang belum pernah disaksikan bumi dan satu kebesaran yang tidak tercapai oleh akal fikiran manusia. Pada malam al-Qadr itu bermula turunnya al-Quran kepada hati Rasulullah SAW, sebagai satu tanda perhubungan mutlak di antara bumi dan alam al-Mala’ul A’la. Jika diteliti, beberapa ayat al-Quran yang lain juga menerangkan tentang peristiwa yang berlaku pada malam ini.
“Demi Kitab al-Quran yang jelas, sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam yang diberkahi. Sungguh, Kamilah yang memberi peringatan. Pada (malam itu) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan dari sisi Kami. Sungguh, Kamilah yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”
[Ad-Dukhan 44: 2-6]
“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).”
[Al-Baqarah 2: 185]
Makna al-Qadr
Erti al-Qadr itu mungkin dimaksudkan dengan makna perencanaan dan pentadbiran. Maka Lailatul Qadr itu bererti “malam perencanaan dan pentadbiran” atau “malam penentuan dan penyusunan tadbir Ilahi”. Mungkin juga malam al-Qadr itu dimaksudkan sebagai malam yang amat tinggi nilai dan darjatnya atau “malam keagungan”.
Kedua-dua makna ini sangat sesuai dengan peristiwa yang berlaku pada malam itu kerana ia telah dipilih oleh Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan cahaya agama Allah melimpah ke seluruh alam. Kesejahteraan dan kedamaian dari al-Quran itu juga terpancar ke atas hati-hati manusia, serta ke dalam kehidupan mereka kerana pada al-Quran itu adanya akidah, shariah, kefahaman dan adab sopan yang memancarkan kesejahteraan di bumi dan hati nurani manusia.
Galakan mencarinya
Sungguh terdapat hikmah yang besar malam sebenar Lailatul Qadr itu berlaku tidak diberi secara muktamad. Sewajarnya kita tidak memandang remeh pada malam-malam terakhir Ramadhan dan hanya memilih waktu-waktu tertentu untuk mengadakan ‘pesta ibadah’ kepada Allah Ta’ala. Perintah yang diberikan kepada umat Islam supaya mencari dan mengejar Lailatul Qadr itu sebenarnya mendidik kita untuk sentiasa punya perasaan dekat dan hubungan yang abadi dengan peristiwa agung itu.
Tersebut dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Rasulullah SAW;
“Carilah Lailatul Qadr itu pada malam-malam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.”
“Barangsiapa yang berbuat ibadat pada Lailatul Qadr kerana didorong keimanan dan harapan mendapatkan pahala dari Allah nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
Doa pada Lailatul Qadr
Daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a., beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apabila aku mengetahui waktu malam al-Qadr, apakah yang mesti aku ucapkan pada saat itu?” Beliau menjawab, “Katakanlah,
Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni
(Ya Allah sesungguhnya engkau Maha pemberi ampunan yang mulia, suka memberi pengampunan, maka ampunilah diriku ini).”
[HR. Tirmidzi nombor 3513, kata at-Tirmizi: hadis ini Hasan Sahih]
Matlamat akhir Ramadhan
Kedatangan Ramadhan pada kebanyakan manusia merupakan hanya satu rutin tahunan atau kebiasaan, tetapi kepada orang-orang yang benar-benar beriman dan yakin dengan ajaran Islam yang diamalkannya, sebenarnya ia menjadi suatu mercu tanda untuk mencapai matlamat penghidupan yang sebenar iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah Ta’ala secara khusus dalam konteks kita berpuasa iaitu “La‘al lakum tattaqun”.
Kalimah ini merupakan suatu yang lazim dan lumrah kepada kita, sering-sering diulang-ulang dalam khutbah dan tazkirah hinggakan kebanyakan dari kita menghafalnya. Tetapi jika difikirkan, pernahkah kita sampai kepada tahap “tattaqun” itu bila tiba dan berakhirnya Ramadhan?
Sampaikah kita kepada apa yang Nabi SAW sebut kepada isteri-isteri dan sahabat-sahabatnya iaitu “Faya ‘ajaban liman adraka ramadana fala yughfarulah”, yang maksudnya “Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.
Maka kesimpulannya sahabat-sahabat sekalian, marilah sama-sama kita berusaha untuk mengejar malam yang penuh keagungan dan kemuliaan ini. Malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan. Malam yang penuh rahmat dan keampunan dari Allah subhanahu wa ta’ala.
Elakkan malam-malam terakhir Ramadhan ini diisi dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan melalaikan. Tinggalkanlah perkara-perkara sia-sia yang hanya memberikan kita kegembiraan yang seketika dan sementara. Hidupkanlah malam-malam terakhir ini dengan pesta ibadah seperti solat malam, iktikaf, tadabbur quran dan berzikir mengingati Allah. Berjagalah di malam hari untuk memohon rahmat dan keampunan-Nya dan bermu’amalah di siang hari untuk mencari keredhaan-Nya.
Wallahua’alam.
No comments:
Post a Comment