Sunday, April 14, 2013

Pendatang Asing Tanpa Izin di Gombak, Selangor

Pendatang asing dan gejala jenayah


KITA menghargai sumbangan pekerja asing dalam membantu pembangunan ekonomi negara ini, khususnya di sektor hartanah. Tanpa pekerja asing, sektor pembinaan kita tidak mungkin dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan. Kekurangan tenaga kerja tempatan serta peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia yang semakin tinggi, membolehkan kita membayar upah untuk perkhidmatan yang dulunya dilakukan sendiri. Kemasukan pembantu rumah yang ramai secara mendadak bukanlah disebabkan semua wanita dan golongan ibu di negara ini sibuk bekerja. Ramai juga isteri yang kerjanya cuma menghias diri kerana semua kerja rumah dilakukan oleh pembantu rumah. Kalau dulu kita mungkin memerlukan pengasuh untuk menjaga anak, kini dengan kemewahan yang dinikmati dan anak-anak pun sudah besar, kita tidak memerlukan pengasuh lagi tetapi pembantu rumah.

Dengan keperluan tenaga kerja yang begitu tinggi, kemasukan buruh asing tidak dapat disekat. Selain sektor hartanah dan perladangan, sektor perkhidmatan seperti pembantu rumah, pekerja hotel, pelayan restoran dan sebagainya memerlukan ramai pekerja asing. Dalam tempoh lima tahun lalu kemasukan pekerja asing begitu mendadak dan berita kehidupan mewah di sini menarik minat ratusan ribu kemasukan pendatang tanpa izin bukan saja dari negara jiran, malah dari benua Afrika. Setiap tahun kira-kira RM2.5 bilion dihantar pulang sebagai pendapatan asing bagi Indonesia, Filipina, Bangladesh, Thailand dan sebagainya. Jika dicampur dengan perkhidmatan perubatan percuma dan pelbagai perkhidmatan sosial lain yang turut mereka nikmati, Malaysia mungkin membelanjakan lebih RM3 bilion untuk membiayai kedatangan pekerja asing.

Walaupun kita mengalu-alukan kedatangan mereka, kita tidak seharusnya lupa bahawa kedatangan pekerja asing juga membawa bersama pelbagai penyakit dan gejala sosial yang tidak sihat. Beberapa penyakit seperti malaria dan taun yang sudah lama tidak wujud di negara ini kembali merebak disebabkan pendatang asing. Bagaimanapun, penyakit ini boleh diubati dengan mudah. Apa yang paling kita bimbang sekali ialah penyakit sosial seperti merebaknya pelacuran, permusuhan sesama pekerja, rompakan, pecah rumah dan jenayah yang lain. Beberapa tahun lalu kegiatan pecah rumah berlaku hampir di seluruh negara dan kebanyakannya adalah angkara pendatang asing. Pihak polis terpaksa menambah peruntukan bagi meningkatkan kawalan dan perkhidmatan. Hanya selepas pasukan polis mengadakan beberapa operasi dan bertindak tegas terhadap pendatang tanpa izin yang terbabit dalam jenayah, barulah kegiatan pecah rumah berkurangan.

Kini dengan penangguhan beberapa projek pembinaan dan hartanah, ramai pekerja asing akan kehilangan pekerjaan. Dijangka dalam tempoh lima bulan akan datang hampir sejuta pekerja asing akan hilang pekerjaan dan jika langkah segera menghantar mereka pulang tidak dibuat, kemungkinan kadar jenayah pecah rumah akan meningkat. Beberapa cerita ngeri pecah rumah dan pencabulan yang berlaku sebelum ini cukup membimbangkan kita. Kebimbangan ini menyebabkan perkhidmatan untuk pengawal keselamatan dan jaga rumah turut meningkat. Malangnya, kita tidak boleh mengambil pekerja asing untuk menjaga rumah kita, maka kebanyakan syarikat keselamatan terpaksa mengambil bekas anggota keselamatan yang sudah bersara.

Kita terpaksa menyerahkan kepada pasukan polis untuk memastikan keselamatan rakyat kita tidak diancam oleh pendatang asing yang kehilangan pekerjaan. Jabatan Imigresen pula mestilah bertindak tegas mengesan dan menghantar pulang mereka yang datang tanpa izin. Begitu juga dengan pekerja asing yang hilang pekerjaan. Mereka tidak sepatutnya dibiar merayau di negara ini tanpa pekerjaan kerana lambat laun mereka mungkin terbabit dalam kegiatan jenayah. Seluruh rakyat mestilah menyedari bahaya ini dan memberi kerjasama sepenuhnya menghubungi pihak berkuasa jika ada pendatang tanpa izin yang bersembunyi di kawasan mereka. Dalam kegetiran ekonomi hari ini, kita mestilah lebih berhati-hati bukan saja dalam perbelanjaan kita, tetapi juga keselamatan diri kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...