BERPANTANG EMPAT PULUH EMPAT HARI
Selama empat puluh empat hari, dikira dari hari pertama bersalin, adalah diadatkan kepada ibu tersebut untung menjalani pantang. Ini bererti ibu tersebut ditegah daripada makan sebarangan mengikut kehendaknya atau membuat apa-apa jua kerja rumahtangga, walaupun bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya. Selepas tujuh hari barulah ibu tersebut dibenarkan berjalan sedikit-sedikit, itu pun hanya di dalam rumahnya sahaja. Pantang ini adalah dianggap suatu perkara yang penting sekalipun ibu tersebut merasakan yang dia sudah boleh membuat sebarang aktiviti seperti biasa dilakukan. Ketika dalam berpantang, ibu tersebut akan dikehendaki memakai stoking atau membalut kakinya dengan kain bagi mengelakkan angin memasuki badan. Di dahinya pula akan dilumurkan ubat yang bertujuan menarik angin keluar dari badan.
Berpantang bukan sahaja melibatkan pemakanan dan kesihatan diri ibu tersebut. Si suami juga tidak digalakkan untuk meniduri isterinya ketika si isteri sedang berpantang. Ini kerana dalam tempoh berpantang, si isteri akan berasa lemah badan dan sakit ketika bersalin masih belum hilang sepenuhnya. Selain itu, isteri juga akan mengalami darah nifas yang hanya keluar selepas bersalin dan keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa bagi isteri untuk didatangi suaminya.
Di antara ubat yang dipakai dan dimakan oleh ibu bersalin biasanya adalah ubat yang diberikan oleh tok bidannya sahaja. Selain daripada ubat yang dimakan dan dipakai, ibu tersebut juga akan menjalani kaedah bertungku (tuam) di perutnya sehari sekali selama tempoh pantangnya.
Ada sesetengah bidan menggantikan kerja-kerja bertungku dengan berdiang. Ibu-ibu akan diberikan makanan yang boleh mendatangkan sumber darah di dalam badannya bagi menggantikan darah yang telah banyak hilang semasa bersalin, contohnya limpa dan hati. Makanan tersebut juga akan dimasak mengikut cara tertentu yang boleh membantu menghilangkan angin di dalam badan dan mengecutkan segala urat saraf yang telah mengembang. Ibu-ibu juga biasanya dinasihatkan memakan jamu yang dapat memulihkan semula tenaga dan memperbaiki tekstur dan bentuk tubuh badan mereka seperti sediakala.
Namun begitu, bagi masyarakat sekarang, bersalin di hospital adalah lebih selamat dan mudah. Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin akan tetap diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk menjamin kesihatan ibu tersebut.
No comments:
Post a Comment