Sebagai seorang manusia, keinginan untuk mencapai sesuatu matlamat yang diinginkan adalah perkara biasa. Namun, masih ramai yang gagal untuk menghasilkan tindakan kerana dihantui oleh perasaan takut, tidak yakin dan pelbagai lagi.
Walaupun ramai yang tahu bahawa perasaan seperti ini hanya sekadar mainan di fikiran, namun kebanyakkan mereka telah biarkan perasaan tersebut menguasai diri mereka seterusnya membantutkan proses pertama kejayaan mereka iaitu tindakan.
Justeru itu, saya terpanggil untuk memberikan sedikit nota inspirasi pada para pembaca agar anda semua dapat melakukan tindakan serta merta untuk mencapai matlamat yang diinginkan dalam kehidupan.
“Face The Fear and DO IT ANYWAY”
Tidak dinafikan bahawa saya sendiri mempunyai perasaan takut untuk melakukan sesuatu. Namun ia tidak bermakna saya tidak bertindak. Konsep ini seringkali diwar-warkan oleh sebuah syarikat sukan terkemuka dunia iaitu Nike. Dimana mereka menggunakan tagline “Just Do It”.
Ketakutan adalah perasaan yang biasa anda hadapi dalam kehidupan seharian. Tetapi apa yang membezakannya bagaimana anda mengawalnya untuk menghasilkan tindakan. Jadi, saya sarankan agar “rasai ketakutan itu dan segera lakukan tindakan”. Biasanya selepas anda bertindak, perasaan takut tersebut akan hilang serta merta.
Dengan kata lain, anda mesti memecahkan dinding ketakutan terlebih dahulu sebelum meneruskan proses tindakan yang seterusnya.
Bina Keyakinan Dengan Membuat Penyelidikan
Selepas bertindak, anda memerlukan sokongan supaya anda berjaya menghadapi proses-proses mencapai matlamat yang seterusnya. Untuk membina keyakinan, lakukan penyelidikan atau mendalami sesuatu itu dengan sebaik-baiknya. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada perasaan ragu-ragu menguasai diri anda.
Perasaan ragu-ragu ini akan wujud setelah anda berjaya menghadapi rasa takut untuk bertindak. Apa yang bahayanya ialah jika anda biarkan perasaan ini terus menguasai diri anda, maka anda berkemungkinan besar akan menyerah kalah lebih awal dan kembali semula ke “zone selesa” anda.
Jadi, pastikan anda terus melakukan persediaan terhadap diri sendiri dengan mendalami ilmu sebanyak yang mungkin. Dengan ini, anda mampu untuk menghapuskan perasaan ragu-ragu.
Ingat Bahawa Kejayaan Adalah Sebuah Proses
Adakalanya punca anda tidak berjaya mencapai matlamat yang diinginkan disebabkan oleh minda anda yang menganggap bahawa memperoleh kejayaan adalah semudah A-B-C. Mempunyai mindset seperti ini mampu melumpuhkan anda dalam mencapai kejayaan pada bila-bila masa kerana anda tidak memahami apakah erti kejayaan yang sebenarnya.
Apabila bercakap mengenai kejayaan, ia adalah sebuah proses yang memerlukan tindakan yang berterusan untuk mencapai sesuatu matlamat yang diingini. Contohnya; Jika anda ingin memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM, maka anda memerlukan tindakan yang berterusan untuk memahami ilmu-ilmu yang disertakan dalam buku mata pelajaran tersebut supaya ia dapat memudahkan anda untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakann dalam peperiksaan kelak.
Kesimpulannya, kejayaan memerlukan dua elemen iaitu tindakan pertama dan berterusan (proses) bagi mencapai matlamat yang anda inginkan. Semoga anda semua mendapat inspirasi dan motivasi melalui artikel ini. Salam kejayaan.
No comments:
Post a Comment