Kuasa minda berada pada tahap mak simum apabila kita berada dalam keadaan tenang dan bebas dari ketegangan. Gelombang otak bergerak dalam kadar pusingan yang rendah. Pada tempo ini, prestasi kerja otak adalah cemerlang.
Kita sangat mudah mengingati sesuatu, berfikir dengan cekap dan pantas manakala idea-idea kreatif mengalir mencurah-curah.
Waktu pagi terutamanya pada hari cuti adalah contoh terbaik di mana gelombang fikiran adalah rendah. Fikiran anda begitu tenang, nyaman dan lapang. Anda tentu mengalami, pada waktu ini fikiran anda dalam keadaan segar, ingatan cukup baik serta otak sungguh lincah dan cergas.
Bahkan semasa anda mandi, mengosok baju atau mencukur misai, anda tentu diterjahi dengan pelbagai idea atau gagasan yang bermutu dan menarik sekali. Kedatangannya adalah secara mendadak dan sementara, tanpa terfikir terlebih dahulu.