Wednesday, August 11, 2010

Polis Tidak Buat Kerja Atau Pengadu Tidak Berusaha?


Jika berlaku kejadian jenayah, mangsa selaku pengadu boleh membuat laporan di balai polis berhampiran atau di balai polis lain di seluruh Malaysia.


Bagi setiap kes dilaporkan, pegawai penyiasat, investigation officer, IO akan ditugaskan menyiasat kes terbabit sekaligus membuka kertas siasatan.


Jika kes ringan, lazimnya Pembantu Pegawai Penyiasat, AIO, anggota polis berpangkat Sarjan akan mengendali kes manakala bagi kes lebih berat ditugaskan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, SIO berpangkat ASP.


Rakaman percakapan pengadu juga akan dibuat IO antaranya bertujuan mendapatkan fakta kes berhubung kejadian jenayah dilaporkan sebelum kertas siasatan dibuka dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya, Deputy Public Prosecutor, DPP.


DPP kemudian meneliti dan menilai maklumat tercatat di kertas siasatan dan membuat keputusan samada siasatan harus dijalankan, Order To Investigate, OTI dikeluarkan kepada IO atau tiada tindakan dilaksanakan, No Futher Action, NFA.


“Laporan polis saya dah buat tetapi senyap begitu sahaja, tak ada tindakan. Polis tak buat kerja”


Itu antara komen sering dilontarkan pengadu kes jenayah.


Saya difahamkan untuk menjalankan siasatan secara efektif, IO sepatutnya menyiasat margin, 5 kes sahaja sebulan. Dengan bilangan kes dan tempoh waktu terbabit, IO terlatih dipercayai mampu menyelesaikan kes secara efisyen.


Namun, secara realistik, sebilangan AIO dan IO menyiasat di antara 10 dan 30 kes sebulan, purata 5 kes sehari dan bilangan itu bergantung kepada daerah mereka bertugas. Jika daerah ‘panas’, bebanan tugas mereka semakin bertambah dengan peningkatan jumlah kes jenayah berlaku.


Pada masa sama, IO juga diperlukan dalam proses mereman suspek, menghadirkan diri untuk sesi perbicaraan di mahkamah bagi perbicaraan kes terdahulu serta terbabit dalam operasi memberkas suspek.


Apapun, pengadu sebagai pelanggan Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM berhak menghubungi atau bersemuka dengan IO untuk bertanya perkembangan tindakan IO terbabit dalam menangani kes diadukan.


Malangnya, kebanyakkan pengadu lebih gemar mencanang dakwaan polis, khususnya IO tidak melaksanakan tugas mereka sedang pengadu tidak langsung berusaha untuk membuat susulan, follow up terhadap kes diadukan.


Pada masa sama tidak dapat dinafikan, sebilangan pengadu mendakwa segelintir IO cuba mengelak bertemu ‘pelanggan’ mereka, barangkali akibat kesibukan tugas. Malah ada di kalangan pengadu berasa gentar sekiranya IO mengeluarkan kenyataan tidak disenangi.


“Kalau nak cepat, awak siasat sendiri”


Itu antara kenyataan didakwa pernah dilontarkan IO bertugas menyiasat kes samun dilaporkan sebelum ini. Akibatnya, dia dipindahkan bertugas ke daerah lain kerana pengadu membuat laporan kepada Ketua Polis Negeri. Pegawai sama menyiasat satu daripada kes ugutan bunuh saya laporkan.


Ringkasnya, sebagai pengadu dan pelanggan PDRM, mereka mempunyai hak. Jika tidak berpuas hati terhadap sikap segelintir IO, mereka boleh mengemukakan komplen kepada Ketua Polis Daerah, OCPD pada setiap hari Jumaat, hari OCPD bertemu pelanggan, orang ramai.


Hemat saya, tidak timbul soal polis tidak melaksanakan tugas mereka kerana sebagai pelanggan pengadu mempunyai hak tersendiri dan mereka boleh melaksanakan tindakan wajar agar kes diadukan mendapat perhatian.

Info: Mazidul

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...