Thursday, January 3, 2013

Nodus limfa bengkak

HODGKIN LIMFOMA... bengkak dileher.
HODGKIN LIMFOMA... bengkak dileher. 
 
KEHADIRAN benjolan di bawah kulit, sama ada berbentuk bulat atau leper, sering menimbulkan kebimbangan, terutama wanita, apatah lagi jika ‘muncul’ di bahagian terdedah atau mudah dilihat.
Benjolan berkenaan biasanya tidak besar tetapi dapat dirasai dan timbul di bahagian organ manusia. Ia dipanggil limfoma atau penyakit kanser kelenjar. Biasanya ia tidak sakit tetapi boleh membesar jika dibiarkan.

Lebih sejuta individu menghidap limfoma di seluruh dunia. Ia juga antara penyakit paling pantas berkembang dan setiap tahun dianggarkan 350,000 kes baru didiagnosis di seluruh dunia manakala hampir 200,000 pesakit meninggal dunia disebabkan limfoma setiap tahun.

Menurut Perunding Hermatologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Goh Kim Yea, kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini masih pada tahap mengecewakan, sedangkan limfoma boleh membawa maut.

“Masyarakat seakan-akan tidak sedar mengenai kewujudan penyakit ini meskipun setiap 15 September diadakan World Lymphoma Awareness Day bermula pada 2004.
“Mungkin ia tidak ‘terkenal’ seperti barah otak, hati dan payudara, menyebabkan masyarakat kurang mengambil berat mengenainya.

“Walaupun simptom penyakit ini biasa dan tidak terlalu membimbangkan, pesakit dinasihatkan segera berjumpa doktor jika wujud kelainan pada anggota badan mereka,” katanya sewaktu ditemui, baru-baru ini.

Apa itu limfoma?

Limfoma merujuk kepada barah dihasilkan daripada sistem limfatik badan. Sistem limfatik termasuk noda limfa (juga dikenali kelenjar limfa), timus, limpa, tonsil, adenoids (pengumpulan tisu limfatik pada bahagian belakang hidung) dan sum-sum tulang (dipanggil limfatik atau saluran limfa) yang berkaitan. Dalam limfoma, sebahagian sel dalam sistem limfatik dikenali sebagai limfositik meningkat tanpa kawalan.
Jenis limfoma

Ada dua jenis, bergantung kepada bentuk sel barah (malignan). Ia dikenali sebagai Hodgkin’s Lymphoma atau penyakit Hodgkin (HL) dan Non-Hodgkin Lymphoma (NHL).
  • Hodgkin’s Lymphoma, dinamakan sempena Thomas Hodgkin, pelajar dan pakar perubatan pertama menerangkan penyakit itu pada 1832. Jenis ini biasa ditemui pada kanak-kanak dewasa atau remaja. Lymphoma jenis ini didefinisikan dengan kehadiran sel barah yang spesifik dipanggil sel Reed-Sternberg, di dalam noda limfa atau organ terbabit.
  • Non-Hodgkin’s Lymphoma. Gelaran ini digunakan terhadap semua jenis Lymphoma. Insiden Non Hodgkin Lymphoma meningkat sepanjang hayat kanak-kanak meningkat remaja. Dalam non-Hodgkin’s Lymphoma, ada peningkatan jenis limfosit yang spesifik (iaitu sejenis sel darah putih di kelenjar limfa).
    Peningkatan perebakan limfosit juga kelihatan seperti barah darah leukemia, kadangkala menyukarkan untuk mengenal pasti antara limfoma dan leukemia di kalangan kanak-kanak.

    Pada amnya, pesakit yang menghidap limfoma tidak membabitkan sum-sum tulang atau sedikit saja, manakala pesakit leukemia pula membabitkan sum-sum tulang secara menyeluruh.

    Walaupun kedua-dua jenis ini terjadi daripada sistem limfa, ia membabitkan bahagian badan berlainan, merebak secara berlainan juga bertindak terhadap rawatan secara berlainan.

    Simptom limfoma
  • Cepat letih
  • Hilang berat badan
  • Demam
  • Kesukaran untuk menelan
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Pembengkakan nodus limfa di dalam abdomen boleh menyebabkan kembung dan ketidakselesaan yang menyekat saluran najis dan menyebabkan sembelit, loya dan muntah.
  • Pembesaran timus atau noda limfa di dada yang mengakibatkan penekanan saluran udara, menyebabkan pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas atau kesukaran bernafas.
  • Kegatalan kulit dalam kes-kes Hodgkin’s Lymphoma
  • Noda limfa yang terletak di permukaan biasanya tidak sakit, oleh itu ia terus membesar tanpa disedari.

    Bagaimana mahu mengenal pasti limfoma?

    Biasanya doktor akan bertanya sejarah kesihatan serta kesihatan ahli keluarga, ubat diambil dan sebarang alahan. Selepas itu, pemeriksaan fizikal dilakukan untuk mengesan limfoma.

    Apabila dikesan mempunyai nodus limfa yang membengkak tanpa sebab, doktor akan memeriksa nodus tersebut secara teliti untuk mengetahui sama ada ia akan terus membesar atau tidak.

    Doktor juga akan memberi ubat antibiotik kerana pembesaran mungkin disebabkan jangkitan bakteria. Jika nodus limfa terus membesar, langkah seterusnya adalah melakukan biopsi membabitkan pengambilan sedikit tisu atau keseluruhan nodus limfa berkenaan.


    Rawatan

    Bergantung kepada tahap barah berkenaan. Menentukan tahap barah adalah cara mengkategorikan atau mengklasifikasikan pesakit mengikut tahap sewaktu didiagnosis.

    Ada empat tahap limfoma, iaitu tahap pertama (barah cuma membabitkan satu bahagian nodus limfa atau satu organ di luar nodus limfa) hingga tahap empat (barah yang merebak, hingga ke satu atau lebih tisu atau organ di luar sistem limfatik).

    Tahap pengesahan dapat membantu pakar perubatan menentukan rawatan dan mengenal pasti pesakit limfoma akan bertahan dalam jangka masa panjang. Kemoterapi (pengubatan bertahap tinggi untuk membunuh sel barah) adalah rawatan utama digunakan.

    Ia rawatan yang sangat penting untuk penyakit non-Hodgkins Lymphoma yang biasanya membabitkan penggunaan kombinasi beberapa jenis ubatan dan rawatan yang mengambil masa beberapa bulan.

    Hodgkin’s Lymphoma pula dirawat dengan kemoterapi. Kadangkala radioterapi (penggunaan cahaya berkuasa tinggi untuk mengecutkan tumor/barah dan menyekat sel barah daripada merebak) hanya digunakan dalam situasi tertentu.
  • No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...